{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


80% warga HPSF kurang sihat

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

Dr. Selahudden Abd. Aziz (kanan) melepaskan peserta yang mengambil bahagian pada Majlis Pelancaran 10,000 Langkah Sehari Untuk Kehidupan Sihat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, kelmarin.

MUAR 14 Jun - Lebih 80 peratus warga kerja Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, yang menjalankan saringan kesihatan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini dikategorikan sebagai 'tidak sihat' dan berisiko dijangkiti penyakit berjangkit.

Pengarah HPSF, Dr. Selahudden Abd. Aziz berkata, lebih membimbangkan apabila data menunjukkan 59.1 peratus daripada mereka mempunyai masalah berlebihan berat badan dan obesiti.

"Lebih 80 peratus warga kerja HPSF yang disaring mempunyai risiko dengan 3.8 peratus merokok, 5.8 peratus hipertensi, 4.4 peratus mempunyai gula dalam darah berlebihan dan 27.9 peratus dislipidemia," katanya semasa melepaskan peserta 10,000 Langkah Sehari Untuk Kehidupan Sihat di pekarangan HPSF di sini semalam.

Dr. Selahudden berkata, pihaknya prihatin dengan amalan gaya hidup tidak sihat dalam kalangan warga HPSF yang menjurus kepada kurang kecergasan fizikal serta amalan pemakanan tidak sihat, ditambah dengan tekanan kerja.

"Semua ini akan membawa kepada peningkatan risiko untuk penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, kardiovaskular dan kanser," katanya.

Justeru, program 10,000 langkah sehari itu amat bertepatan dianjurkan dengan tujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja HPSF selain memberi panduan berjalan dengan betul.

Dr. Selahudden berkata, antara faedahnya dapat mengurangkan penyakit jantung, diabetes, osteoporosis selain kanser usus besar, prostat dan payu dara termasuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah, tekanan darah dan mengekalkan otot.

Menurutnya, peserta juga didedahkan dengan panduan pemilihan dan penyediaan makanan yang sihat dalam usaha pihak pengurusan HPSF melahirkan warga kerja lebih sihat, cergas dan produktif pada masa depan.

"Sebagai komuniti HPSF, kita semua bertanggungjawab bagi mewujudkan persekitaran hospital yang menggalakkan aktiviti kecergasan fizikal serta fokus kepada tabiat pemakanan yang sihat. Kita juga sedang berusaha mewujudkan kafeteria sihat di hospital ini.

"Saya menyeru agar kita bersama-sama berganding bahu bagi mewujudkan warga kerja HPSF yang lebih sihat fizikal, mental mahupun rohaniah serta menjadi contoh dan teladan kepada pelanggan kita," katanya.

UTM, MIT meterai MoU selidik bandar lestari

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

Mohd. Azraai Kassim

JOHOR BAHRU 14 Jun - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Massachusetts Institute of Technology (MIT) dari Amerika Syarikat akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi membuat penyelidikan bersama tentang bandar lestari.

Pemangku Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Mohd. Azraai Kassim berkata, MoU tersebut akan ditandatangani sempena Persidangan Antarabangsa Ke-6, Konsortium Pembelajaran Antarabangsa (LINC) 2013 MIT di Cambridge, Massachusetts, Isnin depan.

Katanya, MoU tersebut akan ditandatangani oleh beliau bersama Naib Presiden MIT, Israel Ruiz dan disaksikan Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

''Kajian menerusi penyelidikan bersama ini kelak akan membantu menambah baik dan mengatasi masalah, antaranya berkaitan kepesatan penduduk di kawasan bandar di negara ini dan bandar-bandar utama di Asia Selatan.

''Objektif utamanya adalah untuk melahirkan sistem perbandaran dan kependudukan yang unik, selesa, selamat dan lestari di kawasan bandar dan antara lokasi kajian adalah di Iskandar Malaysia, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Canselori UTM di sini hari ini.

Mohd. Azraai berkata, kajian bermula tahun ini sehingga 2018 itu yang disenaraikan sebagai projek berimpak tinggi akan menerima dana penyelidikan universiti berkenaan dengan kos permulaan sebanyak RM800,000.

Katanya, kajian tersebut akan diketuai oleh Prof. Dr. Hamdan Ahmad dari UTM dan Prof. Larry Suskind (MIT).

''Antara program yang telah dirancang sempena penyelidikan bersama ini termasuklah pertukaran kepakaran antara penyelidik dari UTM dan MIT, selain penempatan pelajar UTM di MIT.

''Hasil kajian ini kelak akan menjadi bahan pembelajaran dan penyelidikan dalam mewujudkan bandar lestari, sekali gus diharap dapat memberikan manfaat kepada kepentingan sejagat," katanya.

Penduduk rayu lebarkan jalan

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

PARIT SULONG 14 Jun - Penduduk Kampung Simpang Gado, Batu Puteh di sini merayu kerajaan melebarkan jalan kampung berkenaan berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan tersebut termasuk lori membawa muatan buah kelapa sawit.

Selain itu, penduduk memberitahu, jalan kampung berkenaan juga kini menjadi jalan pintas bagi penduduk kampung berdekatan terutamanya mereka yang tinggal di Taman Seri Sulong untuk ke bandar.

Wakil penduduk, Shaharudin Kamarudin, 58, berkata, kali terakhir jalan berkenaan dinaik taraf pada awal tahun 90-an dan mereka amat menghargai bantuan yang diberikan kerajaan.

Menurutnya, ketika itu, diturap dan dilebarkan sedikit menjadi lebih baik untuk meningkatkan keselesaan pengguna.

"Tetapi selepas lebih 20 tahun, penduduk kampung semakin bertambah dan kenderaan juga semakin banyak, termasuk penduduk berdekatan yang menjadikan jalan ini sebagai pintasan untuk ke Semerah dan Simpang Lima.

"Oleh itu, apabila kereta berselisih dengan lori, salah sebuah kenderaan terpaksa berundur untuk memberikan ruang kerana bimbang kereta mereka masuk ke dalam parit di sebelahnya," katanya baru-baru ini.

Shaharudin memberitahu, keadaan lebih menyukarkan pada waktu puncak iaitu tengah hari dan petang apabila lebih banyak kenderaan menggunakan jalan berkenaan.

Berikutan itu, penduduk berharap kerajaan dapat melebarkan jalan berkenaan bagi memudahkan penduduk lalu-lalang termasuk menghantar anak ke sekolah.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat