Utusan Online - Megabait
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Megabait |
Posted: 16 Jun 2013 11:16 PM PDT Oleh NOOR DIANA AZIS Tang Siew Wai (dua dari kiri) dan Timbalan Presiden Kumpulan Perniagaan Huawei, Wong Weng Hwa (dua dari kanan) menunjukkan model terbaharu telefon pintar HP Huawei, Ascend Mate pada pelancarannya baru-baru ini. PEMBEKAL kepada penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkemuka, Huawei baru-baru ini memperkenalkan peranti empat teras dengan skrin sentuh terbesar. Telefon bimbit pintar Ascend Mate yang bercirikan skrin berdefinisi tinggi (HD) 6.1 inci ini turut dijana oleh pemproses Hi-Silicon empat teras 1.5 giga Herz selain turut dikuasakan oleh bateri berkapasiti tinggi 4050 mAh. Dengan teknologi kawalan kuasa pantas (QC - Quick Power Control) serta penerimaan automatik tidak berterusan (ADRX - Automated Discontinuous Reception), perkongsian pantas milik Huawei ini membuktikan bahawa peranti bersaiz besar mampu untuk beroperasi dengan baik. Menurut Pengarah Pemasaran Serantau Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Tang Siew Wai, Ascend Mate dilihat mampu memenuhi kehendak pengguna dengan mempamerkan inovasi serta teknologi terhebat yang diusahakan oleh jurutera terbaik Huawei. "Peranti terbaharu daripada Huawei ini mampu menembusi rintangan dalam penyampaian hiburan, komunikasi serta memberikan pengalaman kreatif bagi semua keperluan peribadi pengguna. "Daripada segi perkakasan serta reka cipta pula, konsep make it possible diterjemahkan menerusi chipset, penjimatan kuasa, skrin yang lebih besar dan teknologi kamera 8 mega piksel HDR," katanya. Dioperasikan oleh Android Jelly Bean 4.1, Ascend Mate turut menyediakan teknologi dua mic bagi penapisan bunyi, sistem suara Dolby, rakaman stereo serta perkongsian pantas bagi memuat naik gambar, video dan lain-lain fail. Acsend Mate kini boleh mula didapati dalam dua warna iaitu hitam dan putih serta dijual pada harga RM1,599. |
Posted: 16 Jun 2013 11:16 PM PDT Saya seorang pengguna komputer riba Mac. Bagaimana cara untuk saya tingkatkan prestasi komputer tersebut? - Wan, Lanjut. Nasihat saya, laksanakan rutin penyelenggaraan harian seperti mana komputer yang lain. Antaranya membuang pek-pek bahasa yang tidak diperlukan, membuang ikon-ikon yang tidak diperlukan daripada Mac Dock dan lain-lain. Sedikit sebanyak cara ini dapat membantu meningkatkan prestasi sistem Mac sekiranya dibuat secara betul dan mengikut jangka masa yang diperlukan. Namun begitu, terdapat beberapa kaedah yang lebih berkesan untuk meningkatkan prestasi sistem komputer Mac. Walau bagaimanapun, ada antara kaedahnya yang berkos mahal dan agak sukar untuk dilaksanakan. Antaranya adalah seperti berikut. 1Menaik taraf cakera keras kepada cakera berasaskan cip elektronik atau SSD (Solid State Drive). Cara tersebut meningkatkan kelajuan operasi baca dan tulis, mengurangkan penggunaan tenaga sehingga berupaya meningkatkan jangka hayat bateri bagi komputer riba dan lain-lain. Namun begitu, harganya mahal. Kemudian, pastikan komputer sistem Mac yang digunakan menyokong cakera SSD dan berupaya untuk membuat penaikan taraf tersebut. 2Kebiasaannya, komputer berasaskan Mac mempunyai kapasiti memori yang rendah ketika dibeli. Jadi, tingkatkan kapasiti memori atau RAM pada tahap maksimum yang dibenarkan oleh sistem komputer tersebut. Dengan ini, ia akan meningkatkan upaya dan prestasi sistem Mac memproses sistem pengoperasian OS X yang digunakan, aplikasi komputer dan lain-lain. 3Buang fungsi automatik buka program komputer dalam sistem Mac atau OS X ketika proses masuk atau login. Ini boleh dikonfigurasikan dalam sistem Mac pada konfigurasi fungsi Login. Caranya adalah seperti yang berikut. Pergi ker System Preferences > Users & Groups > pilih akaun pengguna tertentu > Login. Nyah tanda pada kotak mana aplikasi yang tidak diperlukan automatik buka ketika login. 4Kurangkan atau buang penggunaan widget dalam sistem Mac. Contoh Widget adalah seperti aplikasi kemas kini cuaca, utiliti Facebook, utility Twitter, keputusan pertandingan sukan, animasi dan lain-lain. Penggunaan widget ini sama ada ia digunakan atau tidak akan memberi masalah kepada kadar penggunaan sumber-sumber sistem komputer seperti pemproses, memori dan sebagainya. Bagi menyemak kadar prestasi aplikasi atau widget dalam komputer Mac, boleh pergi ke menu Dashboard yang boleh dicapai di menu Mission Control. Buang mana-mana Widget yang tidak diperlukan di Dashboard. 5Buat pengesahan dari segi kecukupan ruang kosong yang diperlukan bagi penggunaan cakera keras atau storan. Ruang kosong bagi cakera keras atau storan diperlukan pada kadar tertentu untuk proses-proses tertentu dalam komputer seperti penyimpanan fail, operasi paging, penyimpanan pangkalan data dan lain-lain. Ruang kosong yang tidak mencukupi menyebabkan sistem Mac menjadi perlahan. Sekiranya berlaku kekurangan ruang kosong pada cakera storan, buang mana-mana fail yang tidak penting atau naik taraf cakera storan kepada kapasiti yang lebih besar lagi. Saiz yang diperlukan untuk ruang kosong pada cakera kosong ini bergantung kepada keperluan sesebuah komputer. Bagi penggunaan biasa, sesebuah komputer Mac itu memerlukan sekurang-kurangnya 10 GB saiz ruang kosong cakera storan. Penggunaan yang berat seperti pengendalian video dan sebagainya memerlukan sekurang-kurangnya 20 GB atau lebih. Penyimpanan fail paging memerlukan saiz ruang kosong cakera storan yang lebih banyak sekurang-kurangnya separuh atau lebih daripada saiz sedia ada. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Megabait To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |