{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Cadang wujud 1Keluarga 1Koperasi

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 6 Jun - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan 1Keluarga 1Koperasi dalam usaha menggalakkan penglibatan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, penubuhan koperasi dalam kalangan ahli keluarga amat baik terutama dilihat dari aspek pengurusan aktiviti perniagaan dan kewangan.

"Jika ia diuruskan dengan betul dan aktif, setiap koperasi akan berkembang dengan pesat dan memberi pulangan yang amat baik.

"Tambahan pula terdapat kalangan profesional dan ahli akademik dalam anggota keluarga yang pastinya dapat menyumbang idea dan kepakaran," katanya ketika sesi taklimat bersama pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Wisma Persekutuan di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah SKM negeri, Mohamad Zawawi Mahmud.

Menurut Shahiruddin, SKM juga perlu mengubah pendekatan dalam usaha menggalakkan penyertaan orang ramai menubuhkan koperasi terutama dari segi jumlah keahlian.

"Kurangkan jumlah ahli daripada 50 kepada 20 atau 30 orang bagi menggalakkan lebih banyak koperasi ditubuhkan.

"Ini kerana bukan mudah untuk mencari ahli yang betul-betul komited terutama dalam pengurusan dan pembahagian saham.

"Saya berpendapat lebih kecil jumlah ahli pada peringkat permulaan sesebuah koperasi akan lebih mudah untuk diuruskan," jelasnya.

Beliau turut menggesa SKM mengkaji semula keberkesanan program-program yang dilakukan sebelum ini sama ada membawa kebaikan kepada masyarakat keseluruhan atau tidak.

"Saya harap SKM teliti semula program yang disusun sebelum ini sama ada mendapat sambutan masyarakat atau sebaliknya kerana saya tidak mahu setiap pelaksanaan program hanya memuaskan hati para pegawai.

"Sedangkan di peringkat bawahan mereka tidak merasai dan mendapat apa yang sebenarnya diharapkan pucuk pimpinan," jelasnya.

Transformasi belia perlukan peranan semua lapisan masyarakat

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Murad Idris (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Nazlan Idris pada Majlis Perundingan Belia Daerah Jerantut di Hotel Darul Makmur, kelmarin. Turut kelihatan Dr. Ahmad Shukri Ismail (kiri).

JERANTUT 6 Jun - Semua pihak harus bekerjasama agar transformasi terhadap belia dapat dilakukan dengan tersusun bagi membentuk generasi muda yang mantap untuk membangunkan negara pada masa depan.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, proses transformasi terhadap belia bukan sahaja menjadi tanggungjawab pertubuhan belia sebaliknya peranan itu harus dipikul bersama oleh semua lapisan masyarakat.

"Pertubuhan-pertubuhan belia yang ada boleh bertindak merancang sesuatu program. Namun, untuk menggerakkannya, masyarakat perlu berperanan sama agar transformasi berlaku meliputi semua aspek termasuk pemikiran, budaya kerja dan hala tuju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perundingan Belia Daerah Jerantut di Hotel Darul Makmur di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail; Pengerusi Majlis Belia Daerah Jerantut, Murad Idris dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah, Wan Jaimi Wan Mustaffa.

Ahmad Nazlan berkata, belia perlu digerakkan secara tersusun melalui program yang mampu memberi impak positif kepada mereka.

"Saya pernah menjadi pemimpin belia pada era 1980-an dan golongan muda pada masa itu sangat aktif dalam organisasi masing-masing dengan mewujudkan Belia Niaga serta Belia Tani agar dapat menyumbang sesuatu untuk negara.

"Generasi muda hari ini sangat bertuah kerana mereka memiliki segala kemudahan disediakan oleh kerajaan, jadi amat merugikan sekiranya kita membiarkan mereka hidup tanpa cita-cita dan matlamat yang besar untuk membangunkan negara pada masa depan," ujarnya.

Beliau memberitahu, pertubuhan belia juga harus memberi fokus kepada bidang keagamaan bagi melahirkan modal insan cemerlang selain memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

"Sebagai contoh, pengurusan jenazah banyak dilakukan oleh orang lama jadi sudah masanya belia menimba ilmu dan saya yakin generasi muda di Jerantut akan melakukan satu pembaharuan dengan berbakti kepada masyarakat untuk memandikan, kafan dan solat jenazah secara beramai-ramai," jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan generasi muda untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan bagi membantu mereka menjana pendapatan sendiri menggunakan tulang empat kerat.

Dalam pada itu, Ahmad Nazlan komited untuk menunaikan janjinya pada kempen pilihan raya umum lalu bagi membantu golongan belia, memajukan sistem pendidikan, meningkatkan ekonomi penduduk dan menyediakan kemudahan awam yang lebih baik kepada penduduk di daerah ini.

"Saya akan membawa cadangan dan pendapat daripada segenap lapisan penduduk di sini kepada pihak atasan sama ada kerajaan negeri mahu pun Persekutuan untuk tindakan selanjutnya.

''Selain itu, satu program Himpunan 1,000 Belia Jerantut akan diadakan untuk menghimpunkan generasi muda bagi membolehkan mereka menyumbangkan idea ke arah pembangunan di daerah ini," kata beliau.

Projek jalan Kuala Tahan-Hulu Tembeling tetap diteruskan bagi pacu pembangunan

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

wan amizan

JERANTUT 6 Jun - Kerajaan negeri tetap meneruskan projek jalan raya Kuala Tahan ke kawasan Hulu Tembeling secara berperingkat bagi membangunkan kawasan pedalaman daerah Jerantut sebagai pusat pertumbuhan baharu berasaskan sektor pertanian dan pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, projek fasa pertama jalan berkenaan dari Kampung Tuit (Kuala Tahan) ke Kampung Pagi sejauh 28 kilometer sudah 80 peratus siap untuk keselesaan perhubungan penduduk yang berdekatan Taman Negara Kuala Tahan.

"Kemudahan asas fasa pertama ini akan memacu Kampung Pagi sebagai pusat pertumbuhan baharu di pedalaman Tembeling menerusi sektor pertanian dan pelancongan yang boleh menjana pendapatan penduduk.

"Fasa berikutnya, iaitu jalan raya dari Kampung Pagi ke Hulu Tembeling secara berperingkat tetap dilaksanakan memandang hasrat kerajaan untuk membangunkan kawasan pedalaman Hulu Tembeling menerusi sektor berkenaan," katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Menurut beliau, kemudahan jalan ke Kampung Pagi sudah menampakkan hasil apabila komoditi sawit, buah-buahan, herba dan sumber kampung sudah dapat dipasarkan ke Kuala Tahan dan bandar Jerantut sejak tahun lepas.

"Kemudahan ini juga memberi impak terhadap kehadiran lebih ramai pelancong ke kawasan Hulu Tembeling dengan menggunakan laluan pacuan empat roda dan motosikal lasak," katanya.

Katanya, kemudahan itu juga bakal diiktiraf 'jalan pelancongan' ke pedalaman Tembeling dan sempadan negeri Terengganu juga merealisasikan pertumbuhan lokasi baharu rekreasi alam sekitar, iaitu di Tabung, Jeram Nusa, Hutan Lipur Pengau, Kuala Sat, Kampung Bantal, Gusai dan Sepia.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan jalan Kuala Tahan ke kawasan Hulu Tembeling secara berperingkat dan mengambil masa kerana kerajaan negeri perlu mengambil kira aspek alam sekitar, kajian tanah dan perancangan jajaran menepati spesifikasi keselamatan dan mengelakkan daripada pencemaran.

Wan Amizan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut berkata, pembangunan jalan raya juga tidak merencatkan penggunaan bot penambang Sungai Tembeling kerana pengangkutan air berkenaan masih relevan serta menarik minat pelancong untuk eksplorasi ke pedalaman Hulu Tembeling.

Katanya, penduduk Hulu Tembeling tidak wajar terikut dakyah pihak tertentu yang mengeksploit isu pembangunan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini kerana kerajaan negeri mempunyai mekanisme tertentu terhadap pelaksanaan sesuatu projek.

Menurutnya, pembangunan jalan raya dan prasarana lain tetap akan dilaksanakan manakala usaha menaik taraf kemudahan asas yang sedia ada berasaskan Aku Janji Barisan Nasional (BN) untuk manfaat meningkatkan taraf hidup penduduk termasuk peluang ekonomi bagi belia yang berkeluarga.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat