{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


JPJ buru motosikal tiada cukai jalan

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gamil.com

Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan mengambil maklumat peribadi pemilik motosikal yang melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam operasi di Temerloh, kelmarin.

TEMERLOH 8 Jun - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus menjalankan operasi memburu pemilik motosikal yang tidak memiliki ciri-ciri keselamatan termasuk tidak mempunyai cukai jalan.

Pengarahnya, Datuk Zakaria Man berkata, motosikal dalam kategori berkenaan boleh diistilah sebagai 'motosikal tidak layak' berada di atas jalan raya.

Katanya, sebab itu usaha mengesan motosikal berkenaan dilakukan bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

"Jika berjaya menghalang dan mengatasi kehadiran motosikal tak layak di atas jalan raya, ia dapat mengurangkan kemalangan," kata Zakaria.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan operasi bersepadu bersama 40 pegawai JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sini semalam.

Dalam operasi tersebut, JPJ mengeluarkan 62 saman daripada 299 pelbagai kenderaan yang diperiksa kerana pelbagai kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Zakaria memberitahu, JPJ akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti AADK dan PDRM dalam usaha mengesan pemandu kenderaan yang memandu di bawah pengaruh dadah.

Terap budaya hayati al-Quran di peringkat awal kanak-kanak

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Mustapa Long (dua kanan) mengemudi Ujian Tasmik (ujian bacaan al-Quran) sempena penutupan Kem Tahfiz al-Quran Musim Cuti anjuran Maahad Tahfiz Kampung Relong, Kuala Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 8 Jun - Budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran wajar disemai pada peringkat awal dan dijadikan sebagai agenda harian kehidupan sekali gus membentuk nilai kepemimpinan setiap umat Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, amalan berkenaan sewajarnya dimulakan pada peringkat anak-anak manakala ibu bapa menjadi pemangkin pembabitan isi rumah mencintai al-Quran.

"Selepas itu ia disemarakkan pula dalam institusi kemasyarakatan sehingga amalan ini diperluaskan di seluruh negara bagi menjadi panduan kehidupan di negeri kita.

"Kesannya, ia mampu meningkatkan kadar celik al-Quran dan memastikan kemuliaan kitab suci ini sentiasa dijaga dan dipelihara," katanya kepada pemberita selepas penutupan Kem Tahfiz al-Quran Musim Cuti anjuran Maahad Tahfiz Kampung Relong, dekat sini semalam.

Yang hadir sama Penghulu Mukim Hulu Jelai, Abdullah Zawawi Kamaruddin dan Ahli Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Relong, Zahari Imam Uda.

Sempena majlis berkenaan, Mustapa turut memantau ujian Tasmik (bacaan al-Quran) membabitkan 18 pelajar berusia antara 13 dan 17 tahun yang mengikuti program berkenaan.

"Al-Quran merupakan nas-nas yang mempunyai pelbagai bidang boleh dirujuk untuk menjana akhlak dan sebarang urusan kehidupan yang wajar dihayati pada peringkat anak-anak dan pelajar.

"Pelajar sepatutnya sedar iaitu mendalami bacaan al-Quran dan menghayati kandungannya menerusi bimbingan guru Pendidikan Islam, tok imam, guru di pondok dan pusat-pusat tahfiz yang mempunyai kemahiran bidang ini," ujarnya.

Terdahulu, beliau memuji Ahli Lembaga Pengarah dan tenaga pengajar Maahad Tahfiz Relong menganjurkan siri tahfiz dan penghayatan al-Quran setiap kali musim cuti sekolah untuk mengisi masa senggang pelajar.

"Cuma saya berharap ibu bapa di daerah Lipis dan kawasan berdekatan mempunyai kesedaran menghantar anak-anak belajar di sini semasa musim cuti sekolah mahupun sepenuh masa sebagai pelajar tahfiz al-Quran," katanya.

Mustapa yang juga Naib Ketua UMNO Lipis, berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai agenda pembangunan insan ke arah penghayatan umat Islam terhadap al-Quran.

Ibu kandung Nor Irdina dicari

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Hasnah Dali (kanan) bersama Nor Irdina Qistina yang ditinggalkan oleh ibu kandungnya, Rina Sagino di Felda Kota Gelanggi Satu, Jerantut, kelmarin.

JERANTUT 8 Jun - Seorang suri rumah di Felda Kota Gelanggi Satu, dekat sini merayu seorang wanita warga Indonesia supaya mengambil semula anaknya, Nor Irdina Qistina , 5, yang kini dalam jagaan keluarga itu demi masa depannya.

Hasnah Dali, 62, yang juga seorang peneroka di Felda Kota Gelanggi Satu masih tertanya-tanya kenapa wanita Indonesia itu yang dikenali sebagai Rina Sagino sanggup meninggalkan anaknya.

Dia berkata, ibu kepada Nor Irdina Qistina itu juga merupakan anak angkatnya dan tinggal bersamanya sejak tiba di negara ini beberapa tahun lalu.

"Namun beberapa minggu lalu, dia keluar rumah dan menghilangkan diri tanpa dapat dikesan walhal kami tidak ada perselisihan faham langsung dengan dia mahupun ahli keluarganya.

"Puas saya mencari Rina menerusi jiran dan rakan-rakannya, tetapi tidak tahu khabar berita wanita itu. Saya bertambah khuatir apabila Rina meninggalkan anaknya tanpa sebarang dokumen kelahiran," katanya kepada pemberita di Felda Kota Gelanggi Satu semalam.

Menurutnya, atas dasar perikemanusiaan dan sayangkan Nor Irdina Qistina, dia mengambil keputusan untuk mengambil anak kecil itu sebagai anak angkatnya.

"Saya sedia menjaga Nor Irdina Qistina kerana saya amat sayangkan dia sejak menjaganya dari usia kecil," ujarnya.

Hasnah berkata, Nor Irdina Qistina merupakan seorang kanak-kanak yang pintar, tetapi tidak dapat mengikuti pelajaran dan asuhan di prasekolah kerana tidak mempunyai dokumen kelahiran.

Dia berhasrat mengambil Nor Irdina Qistina sebagai anak angkat supaya anak itu dapat membesar dengan sempurna dan mempunyai kad pengenalan apabila dewasa kelak.

"Saya tidak mahu melihat masa depannya gelap. Oleh itu, saya bertekad ingin mendidik Nor Irdina Qistina menjadi insan yang berguna pada masa akan datang," ujarnya.

Dia menambah, seluruh ahli keluarganya sangat sayangkan Nor Irdina Qistina dan menganggapnya sebagai darah daging sendiri.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat