Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Jalan mendap di Kg. Permatang
- Periksa operasi bot di PD tanpa sebarang kelonggaran - MB
- STIAS terus memperkasa pendidikan berteraskan al-Quran dan sunah
Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT Oleh FADZLY IZAB Sadlan Yusof menunjukkan jalan yang mendap di Jalan Benteng, Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka, semalam. ALOR GAJAH 10 Jun - Penduduk Jalan Benteng di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru di sini terpaksa berhadapan dengan risiko kemalangan disebabkan masalah jalan mendap yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu. Jalan yang menghubungkan kampung tersebut dengan pekan Kuala Sungai Baru itu menjadi pilihan utama lebih 100 keluarga kampung berkenaan disebabkan jaraknya yang lebih dekat berbanding satu lagi jalan. Malah, ia turut menjadi laluan utama kepada para pelajar dan kakitangan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di sini. Seorang penduduk, Salmah Hamid, 51, berkata, masalah jalan mendap itu telah dihadapi penduduk sejak 2008 dan sehingga kini ia masih tidak dipulihkan. "Jalan yang mendap ini sering mengundang bahaya terutamanya jika digunakan pada waktu malam dan pernah mengakibatkan kemalangan kepada pengguna," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurutnya, walaupun terpaksa menanggung risiko, penduduk dan warga kolej tersebut memilih untuk menggunakan jalan sepanjang tiga kilometer itu bagi menjimatkan masa dan tenaga disebabkan jaraknya yang lebih dekat untuk ke pekan. "Keadaan jalan ini menjadi lebih teruk apabila ia turut digunakan oleh lori mengangkut kelapa sawit di ladang berdekatan selain digunakan juga oleh bas kolej berkenaan," katanya yang menetap di kampung itu sejak 2001. Tegasnya, masalah itu diharap dapat diatasi dengan segera oleh pihak berkaitan kerana ia merupakan laluan penting bagi penduduk setempat. "Saya bimbang jika dibiarkan, lebih banyak kemalangan melibatkan kecederaan kepada pengguna akan berlaku," katanya. Sementara itu, seorang lagi penduduk yang merupakan pesara tentera, Sadlan Yusof, 57, memberitahu, dia menetap di kawasan tersebut sejak 2005 dan mula berhadapan dengan masalah jalan mendap sepanjang kira-kira 40 meter itu sejak 2008. "Keadaan jalan yang semakin hari semakin mendap ini membahayakan penduduk tetapi tetap digunakan kerana dapat menjimatkan masa berbanding jalan alternatif yang jauhnya untuk ke pekan adalah lebih dua kali ganda. "Keadaan yang berlanjutan ini mengakibatkan berlakunya banyak kemalangan malah ada di kalangan pengguna yang terperosok ke dalam parit akibat jalan tidak stabil itu," katanya. Jelas Sadlan, jalan tersebut perlu diwartakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyelesaikan masalah ini kerana sekarang ia masih di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri. "Apa yang menjadi masalah ialah jalan ini dibina di atas kawasan tanah lembut bekas tapak sawah serta bersebelahan dengan saliran parit. "Masalah ini turut pernah diajukan kepada wakil rakyat dan pihak berkenaan namun masih belum boleh diatasi disebabkan kekurangan peruntukan," dakwanya. |
Periksa operasi bot di PD tanpa sebarang kelonggaran - MB Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT SEREMBAN 10 Jun - Peraturan tetap berkaitan keselamatan operasi membabitkan operator feri, bot pelancong, jet ski, kayak dan sebagainya di pantai peranginan Port Dickson dekat sini, perlu diperhalusi supaya dipatuhi tanpa sebarang kelonggaran. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peranan itu perlu diambil Jabatan Laut serta agensi berkaitan supaya semua operator memastikan faktor keselamatan tidak diabaikan ketika berurusan dengan pelancong di pantai peranginan tersebut. "Peraturan operasi tetap sudah sedia ada termasuk keperluan jaket keselamatan, jarak bot dan pantai serta beberapa lagi. Malangnya ada yang tidak mengikuti peraturan ini sehingga membahayakan keselamatan pengunjung. "Saya mahu peraturan ini diperhalusi semula dan operasi operator ini dipantau. Kita tidak mahu sekadar lesen dan permit diberikan tetapi selepas itu operasi mereka tidak dipantau mahupun diperiksa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Dalam masa sama, Mohamad mahu operator jet ski dan bot pelancong yang digunakan di pantai Port Dickson mematuhi peraturan untuk tidak berlegar di kawasan orang ramai sedang mandi. "Saya tidak mahu dengar ada bot mahupun jet ski ini melanggar pengunjung yang sedang mandi di pantai peranginan Port Dickson," katanya. Tambah beliau, pondok keselamatan pantai yang diwujudkan di Port Dickson juga akan terus berfungsi dalam memberi bantuan segera kepada mangsa ketika berlaku kemalangan. "Jika ada arahan yang diberikan seperti ombak besar dan keadaan laut yang bahaya, pengunjung perlulah patuhi. Dengar nasihat termasuk arahan papan tanda," katanya. |
STIAS terus memperkasa pendidikan berteraskan al-Quran dan sunah Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT Sekolah Tinggi Islam As-Sofa, Senawang menjadi lambang perkembangan agama Islam terus subur di Negeri Sembilan. SEREMBAN 10 Jun - Kumpulan Pendidikan As-Sofa terus memperkasakan pendidikan berteraskan al-Quran dan sunah dalam negara ini melalui pembukaan sebuah lagi sekolahnya di Senawang, dekat sini malam tadi. Pembukaan sekolah terbaharu itu menjadikan ia sebagai sekolah swasta yang bukan sahaja memberikan perhatian dalam subjek teras Kementerian Pendidikan, tetapi turut meletakkan aspek Islamiyah dalam keutamaan pendidikannya. Pengerusinya, Al Musnid Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al Maliki As Sanusi berkata, sekolah ini menjadi kebanggaan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta seluruh umat Islam kerana ia merupakan pusat pengembangan ilmu yang bukan sahaja kepada pelajar sekolah, tetapi juga golongan dewasa. ''Kita membuka satu lagi cawangan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) di Senawang ini dan kemasukan pelajar akan dibuat secara berperingkat, selain disediakan kawasan asrama dan padang permainan untuk kemudahan mereka," katanya. Beliau menjelaskan demikian dalam ucapan semasa Majlis Perasmian Sekolah Tinggi Islam As-Sofa Senawang dan pusat pengajian Fatimah As'Syifa' di Senawang, malam tadi. Sekolah berkenaan dirasmikan oleh tokoh ulama, Al Musnid Sayyid Nu'man Al Arabi As Sanusi dan Al Musnid Dr. Sayyid Nafi' Al Arabi As Sanusi dan turut dihadiri Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Syukor Sabudin. Syeikh Muhammad Fuad yang juga Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan berkata, semua pelajar Kumpulan Pendidikan As-Sofa ini akan diberikan didikan ilmu melalui pengajaran dalam bilik darjah, mahupun dalam dewan kuliah yang besar, di mana boleh menempatkan lebih 2,000 pengunjung dalam satu majlis. Kata beliau, setiap pelajar dalam kumpulan ini wajib menghafal dan memahami isi kandungan al-Quran, selain mampu menguasai pelbagai kitab hadis dan kitab muktabar yang lain. ''Kita mahu pelajar yang lahir dari institusi ini kuat didikan agamanya dan dapat menyebar luaskan dakwah Islamiyyah dalam acuan yang betul mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah," tegas beliau. Sementara itu kata beliau, ketika ini terdapat lebih 1,500 pelajar dalam Kumpulan Pendidikan As-Sofa dan bilangan tersebut akan bertambah dua kali ganda selepas STIAS Senawang beroperasi secara berasrama penuh dan harian dalam waktu terdekat, selain kemasukan baru pelajar di Kolej Islam As-Sofa, Ampang, Selangor. Dalam pada itu, Dr. Sayyid Nafi' dalam ucapannya berkata, pelajar hendaklah memberikan kesungguhan dalam mempelajari setiap ilmu yang disampaikan oleh guru, serta menghafal al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. ''Jangan kita mengambil ilmu sambil lewa. Ilmu yang diterima itu hendaklah dimanfaatkan bukan hanya untuk diri sendiri tetapi umat. Kita perlu ikhlas dalam mempelajari ilmu," kata beliau. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |