Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Pusat tetap bantu Kelantan
- TNB ceriakan kehidupan pasangan warga emas
- 42 guru sertai Kursus Tahsin Al-Quran Zon Timur
Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB KOTA BHARU 21 Jun - Pelbagai jenis bantuan yang disalurkan kepada Kelantan selama ini membuktikan kerajaan Pusat tidak pernah sama sekali menganaktirikan negeri ini. Malah bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Pusat ke negeri ini dilihat lebih banyak berbanding bantuan yang diberikan kepada negeri-negeri lain termasuk diperintah oleh Barisan Nasional (BN). Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali berkata, laporan Kementerian Kewangan menunjukkan kerajaan Pusat telah menyalurkan bantuan bernilai RM1.4 bilion kepada negeri ini dalam tempoh empat tahun sejak 2009. Beliau berkata, malah tanpa mengira fahaman politik, kerajaan Pusat turut memberikan pinjaman mudah bernilai RM661 juta kepada kerajaan Pas Kelantan bagi membantu membekalkan air bersih kepada rakyat negeri ini. "Ini membuktikan kerajaan Pusat begitu prihatin kepada kerajaan negeri dan pemberian bantuan di negeri ini telah mengatasi negeri lain antaranya Pahang, Terengganu dan Perlis sedangkan semua negeri ini diperintah BN," katanya di sini hari ini. Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selasa lalu, pemimpin-pemimpin Pas Kelantan ditempelak kerana masih menabur tuduhan dan cuba meracuni fikiran rakyat dengan dakwaan kononnya kerajaan Pusat menganaktirikan negeri ini daripada menerima pelbagai jenis bantuan. Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kawasan Nenggiri, Yusof Mat Ghani ketika membahaskan titah ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V, pada sidang DUN itu berkata, adalah tuduhan tidak berasas jika melihat kepada laporan Kementerian Kewangan yang menunjukkan Kelantan merupakan penerima bantuan terbanyak daripada Pusat di pantai timur berbanding Pahang dan Terengganu. Sehubungan itu, Azmi berkata, Kerajaan Pas Kelantan seharusnya berterima kasih dan tidak boleh menidakkan pemberian bantuan kerajaan Pusat kepada mereka selama ini. "Saya menyeru kerajaan Pas yang dipimpin Menteri Besar baharu, Datuk Ahmad Yakob akan bersifat lebih telus dan ikhlas selepas ini dalam memberi kerjasama kepada kerajaan Pusat. "Kerajaan Pas Kelantan juga patut sentiasa menghargai apa yang dilakukan kerajaan Pusat di negeri ini selama ini," katanya. |
TNB ceriakan kehidupan pasangan warga emas Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT A. LATIFF Awang (tengah) menandatangani plat serahan rumah yang telah dibaiki melalui Projek Mesra Rakyat TNB Peringkat Terengganu di rumah Choo Ah Neon (kiri) dan suaminya, Tee Siong Wee di Wakaf Tapai, Marang kelmarin. Turut kelihatan, Mohd. Yuslan Md. Yusof (dua dari kanan). - UTUSAN/AZLAN BAHRUM MARANG 21 Jun - Pasangan warga emas, Tee Siong Wee, 68, dan isterinya, Choo Ah Neon, 69, telah lama mengimpikan untuk memiliki sebuah kediaman yang lebih selesa. Bagaimanapun, disebabkan kehidupan mereka ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' ditambah dengan kudrat yang semakin terhad, maka impian itu terpaksa dipendamkan. "Saya hanya seorang penoreh getah namun hampir lima bulan sudah tidak turun menoreh disebabkan terpaksa berehat ekoran pembedahan untuk membuang selaput mata sebelum ini. "Isteri saya pula hanya menerima bantuan sara hidup dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan kami memang tidak mampu untuk memperbaiki mana-mana bahagian rumah pusaka ini yang rosak," luah Siong Wee. Bagaimanapun, nasib pasangan tersebut akhirnya berubah apabila terpilih sebagai penerima bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi program Projek Mesra Rakyat yang dikhususkan untuk kaum bukan bumiputera termasuk Cina dan India. Menerusi program itu, TNB menyalurkan bantuan dalam kerja-kerja pembinaan bumbung rumah yang baharu, membaiki dinding kayu, melengkapkan kaca tingkap serta mengecat semula dinding rumah pasangan terbabit. Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat (Hal Ehwal Komuniti) TNB, Ahmad Zaki Rasid, menerusi program tersebut, sebanyak 27 buah rumah akan dibaiki di seluruh Semenanjung sepanjang tahun ini. "Bezanya program ini dengan program Baiti Jannati yang dikhususkan untuk Melayu ialah program ini dibuat menggunakan wang sumbangan termasuk daripada warga TNB sendiri manakala Baiti Jannati pula menggunakan wang zakat yang kita peroleh. "Ini secara tidak langsung menunjukkan TNB tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dalam melaksanakan tanggungjawab korporat terhadap komuniti di negara ini," katanya. Beliau ditemui semasa majlis penyerahan kediaman yang telah dibaiki kepada pasangan emas itu di Kampung Tembok Baru, Wakaf Tapai dekat sini semalam. Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat, A. Latiff Awang serta Pengurus Besar TNB negeri, Ir. Mohd. Yuslan Mohd. Yusof. |
42 guru sertai Kursus Tahsin Al-Quran Zon Timur Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT ARIFUDDIN Abd. Hamid (empat dari kanan) bersama sebahagian peserta Kursus Tahsin Al-Quran Guru Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Zon Timur 2013 di Sutera Inn, Kota Bharu baru-baru ini. KOTA BHARU 21 Jun - Seramai 42 orang guru menyertai Kursus Tahsin Al-Quran Guru Pendidikan Islam Zon Timur anjuran Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan, selama tiga hari yang akan berakhir esok. Kursus itu bertujuan untuk meningkatkan mutu bacaan al-Quran terutama dalam aspek tarannum dan tajwid dalam kalangan guru terbabit. Penyelaras kursus yang juga Ketua Unit Dakwah Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam BPI, Arifuddin Abd. Hamid berkata, kursus tersebut diadakan khusus untuk guru-guru pendidikan Islam dan mursyid (jurulatih utama kepada guru pendidikan Islam) zon timur melibatkan negeri Pahang, Terengganu, dan Kelantan. Dalam kursus kita bukan sahaja akan mengajar amali, malah peserta juga akan diajar secara praktikal. Ini akan memudahkan lagi pemahaman mereka. Pihak kami membawa penceramah yang berpengalaman dalam bidang tajwid dan tarannum. Sambutan yang diterima amat menggalakkan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam majlis itu di sini kelmarin. Yang turut hadir, Ketua Sektor Dakwah dan Kepimpinan BPI, Mohamad Zaki Husin. Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam BPI, Kamariah Isa. Mengulas lanjut kata Arifuddin, kursus tersebut merupakan susulan daripada Program Bina Upaya yang pernah diadakan pada tahun 2010. Beliau berharap, peserta yang hadir akan dapat menyampaikan ilmu yang diajar kepada guru pendidikan Islam yang lain di negeri masing-masing, seterusnya menyebarkan ilmu berkenaan kepada murid, kakitangan sekolah serta masyarakat amnya. Untuk lebih mencapai objektif dan sasaran, kita akan kembangkan kursus sebegini ke zon lain seperti zon selatan," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |