Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Penawar terus dekati rakyat
- Promosi kraf Kelantan dapat sambutan
- Golongan muda disaran ceburi industri kraf
Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT Oleh HAPIZAH AZIZ KHAMARZAN Ahmad Meah (duduk, tengah) bersama sebahagian daripada ahli Penawar pada Majlis Jamuan Teh di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. KOTA BHARU 6 Jun - Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kelantan (Penawar) akan terus merangka program kebajikan dalam usaha mendekati masyarakat di negeri itu. Yang Dipertuanya, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah berkata, sejak penubuhannya, Penawar sangat aktif dalam kerja-kerja kesukarelawan termasuk membantu golongan yang memerlukan. Beliau yang juga isteri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara program kebajikan yang dirangka ialah kegiatan turun padang dan lawatan rumah ke rumah bagi menemui masyarakat yang susah serta mengenal pasti kehidupan mereka. Jelasnya, sebagai sebuah badan amal, Penawar akan menghulurkan bantuan kepada mana-mana pihak yang dikenal pasti memerlukan pertolongan. "Kami akan merancang secara lebih tersusun program kebajikan yang bakal dilaksanakan pada masa hadapan supaya ia merangkumi semua peringkat masyarakat di negeri ini," katanya berucap pada Majlis Jamuan Teh di sebuah hotel di sini semalam. Seramai 40 orang isteri wakil rakyat dan isteri bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menghadiri majlis tersebut yang turut dihadiri Bekas Yang Dipertua Penawar, Puan Seri Nik Azizah Nik Ahmad. Mengulas lanjut, Khamarzan berkata, Penawar pada masa hadapan akan turut terlibat menganjurkan aktiviti keagamaan seperti ceramah dan kuliah agama bagi meningkatkan kefahaman agama dalam kalangan ahlinya. "Aktiviti keagamaan tersebut juga akan dibuka kepada masyarakat bagi menambah ilmu pengetahuan mereka," katanya. Menurut Khamarzan, sebelum ini kegiatan Penawar dijalankan secara berfokus dan tertumpu di kawasan tertentu sahaja, maka pendekatan tersebut akan diperluaskan bagi memberi impak lebih luas kepada masyarakat Kelantan. Beliau berkata, adalah menjadi harapan beliau agar Penawar pada masa hadapan dapat bergerak secara lebih aktif sebagai badan kebajikan dalam membantu rakyat Kelantan yang majoritinya masih memerlukan bantuan kerajaan. |
Promosi kraf Kelantan dapat sambutan Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT MOHD. Razis Md. Said (kanan) tertarik dengan keunikan produk kraf tangan di premis milik Rozali Ismail pada majlis promosi Kraf di KB Mall, Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 6 Jun - Sebanyak 200,000 pengunjung dijangka hadir ke Promosi Kraftangan Malaysia peringkat negeri Kelantan di KB Mall dekat sini, yang akan berakhir pada 12 Jun ini. Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan , Mohd. Razis Md. Said berkata, promosi selama 10 hari itu diadakan bertujuan mempromosi dan memasarkan produk kraf kepada pengguna. "Promosi ini merupakan kali pertama diadakan tahun ini dan kita adakan program sebegini bagi menggalakkan perkembangan industri kraf di Kelantan khususnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurutnya, penyertaan usahawan kraf juga amat baik selepas sebanyak 24 usahawan dari seluruh negara menyertai promosi kraf kali ini. "Mereka terdiri daripada usahawan batik, hasil rimba, logam, seramik dan aneka aksesori mutiara serta kristal," katanya. Mohd. Razis berkata, promosi itu diadakan pada musim cuti sekolah supaya orang ramai dapat berkunjung bersama anak-anak untuk lebih mengenali produk tradisional. "Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat malah daripada penduduk negeri-negeri lain," katanya. Beliau berkata, selain jualan industri kraf, pelbagai aktiviti serta pengisian menarik turut menanti para pengunjung sempena promosi kraf ini. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk mewarna batik, dekorasi seramik, pembuatan wau, anyaman mengkuang dan sulaman selingkam. "Para pengunjung turut didedahkan dengan kebudayaan negeri Kelantan iaitu persembahan dikir barat," katanya. Tambah beliau, promosi kraf itu akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang memandangkan sambutan yang diterima tidak menghampakan. "Saya berharap lebih ramai usahawan akan turut sama menyertai promosi ini bagi menarik lebih ramai pengunjung," katanya. |
Golongan muda disaran ceburi industri kraf Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT KOTA BHARU 6 Jun - Penglibatan generasi muda dalam industri kraf di negeri dilihat masih rendah meskipun kerajaan telah memperkenal pelbagai program untuk menarik minat mereka berkecimpung dalam sektor terbabit. Perkembangan itu ternyata membimbangkan pengusaha kraf tempatan kerana khuatir akan menjejaskan masa depan industri berkenaan selain merugikan negara. Pengusaha kraf, Rozali Ismail berkata, kebanyakan mereka yang mempunyai kemahiran menghasilkan kraf di sini rata-rata golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan ada yang sudah tidak berdaya menjalankan kerja-kerja berkenaan. Menurutnya, kebanyakan anak-anak pengusaha kraf yang merupakan generasi muda dilihat tidak berminat meneruskan kesinambungan kerjaya bapa mereka dan lebih gemar memilih bekerja makan gaji. "Meskipun kerajaan menyediakan pelbagai program berkaitan kemahiran menghasilkan kraf, namun generasi muda hari ini dilihat tidak berminat berkecimpung dalam bidang berkenaan. "Jika keadaan ini berterusan, saya khuatir kita akan ketandusan bakat-bakat baharu dalam pembuatan kraf di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita dalam program Promosi Kraf Malaysia di Kompleks beli-belah KB Mall, di sini hari ini. Program anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan itu akan berakhir 12 Jun ini dan bermula dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari. Rozali memberitahu, industri kraf mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dilakukan secara bersungguh-sungguh kerana produk kraf sememangnya mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan. Katanya, kesemua produk yang dihasilkannya dipasarkan ke seluruh negara termasuk Pasar Seni, Kuala Lumpur, Pekan Rabu, Kedah dan Negeri Sembilan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |