Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 06 Jun 2013 03:43 PM PDT Hanya semangat yang kuat menjadi bekalan juara program Mentor musim kelima, Salma Asis bangkit semula dan meneruskan percaturan yang tertangguh sebelum ini. Katanya, jika bukan kerana kecekalan hati mungkin dia sudah lama karam saat dilanda ujian besar yang menggugat kesihatannya ketika kerjaya nyanyian baru bertunas dua tahun lalu. Imbau penyanyi berusia 23 tahun ini, hampir saja dia putus harapan dan berkubur apabila permulaan kerjayanya terencat gara-gara status kesihatan yang tidak menentu hampir setahun. "Alhamdulillah, sekarang saya sudah sihat sepenuhnya selepas berubat di merata tempat. Hampir setahun juga kesihatan tidak stabil kerana penyakit misteri hingga menjejaskan kerjaya yang baru bermula. Salma Asis
Kongsinya, atas alasan itu juga kerjayanya tenggelam timbul sepanjang tahun lalu sehingga ramai yang menyangka gadis berasal dari Tawau, Sabah ini sudah lenyap dari arena muzik. Katanya, sebaik saja masalah kesihatannya pulih, dia tidak mahu bertangguh lagi bagi mengejar semula masa yang terbuang sebelum ini kerana dugaan itu. "Sudah banyak masa terbuang ketika saya jatuh sakit. Sekarang, saya mahu mengejar semula perjalanan kerjaya yang terencat sebelum ini. "Sekarang saya makin kuat dan berfikiran lebih positif untuk bekerja keras memulakan semula kerjaya. Walaupun rumit dan terkapai-kapai seorang diri, saya akan berusaha sedaya mungkin meneruskan perjuangan ini," katanya. Menyambung perbualan kami, Salma bagaimanapun mengakui laluannya untuk menghidupkan semula kerjaya yang terperap sebelum ini tidak semudah di sangka. "Saya jadi kuat dan tabah kerana niat asal saya untuk bergelar penyanyi berjaya. Jadi biar susah dan perit sekali pun saya akan harungi juga. "Semangat dan matlamat saya sudah ditetapkan. Sekarang saya kena berusaha sedaya mungkin bagi mengembalikan semula periuk nasi ini," katanya. Justeru, Salma tampil dengan imej baru sebagai simbol kesyukurannya atas peluang kedua diberikan Tuhan. Salma yang mula berhijab sejak awal Januari lalu berkata, penghijrahan itu membuka perspektif lebih segar dan positif buatnya. "Jiwa saya lebih tenang sejak berhijab. Saya memang sudah lama simpan hasrat untuk bertudung tetapi masanya belum sampai. "Alhamdulillah, sekarang saya senang dan bahagia dengan perubahan ini. Segala yang saya rancangkan berjalan dengan baik dan lancar," katanya. Tambah Salma, sebagai permulaan dia turut tampil dengan lagu terbaru berjudul Seruan Jiwa bagi meraikan kelahirannya semula dalam nyanyian. "Sebenarnya lagu ini sudah siap sejak hujung tahun lepas tetapi ketika itu saya tidak kenal sesiapa yang boleh membantu bagi melancarkan semula kerjaya yang hampir berkubur. "Bagaimanapun, saya bertuah apabila mendapat bantuan NAR Records yang bekerjasama mempromosikan projek lagu ini. "Saya berharap lagu ini akan meletakkan saya semula dalam bidang ini," katanya yang bakal beraksi pada Konsert Ekspresi Harian Metro di Dataran Perbandaran Segamat, Johor, malam esok. Selesa hidup solo Status Salma sebagai ibu tunggal kepada anak perempuan bernama Putri Nurul Huda, 5, tidak perlu disingkap lagi. Namun, penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Aku Permata ini selesa dengan kehidupan solo. Ketika diusik perihal itu, Salma berkata, tiada apa yang lebih membahagiakan selain menjalani kehidupan di samping puterinya itu. "Saya tidak ada teman istimewa setakat ini. Saya senang begini membesarkan anak bersendirian. "Pada saya, soal mencari pasangan bukan perkara utama yang perlu dikejar sekarang. "Saya sudah dapat peluang semula untuk membina kerjaya, peluang ini harus saya manfaatkan terlebih dulu," katanya. Ditanya tidakkah dia berasa sunyi, Salma berkata, anaknya menjadi tempat mengadu dan berkongsi segala cerita suka dan duka. "Saya belum ada kekasih dan bukan jenis yang menyorokkan status jika diri memang berpunya. "Apa yang lebih berharga sekarang, saya ada anak yang jadi tempat mengadu dan meluahkan perasaan kalau saya bersedih atau sunyi. "Rasanya tidak perlu kekasih dulu pada waktu ini kerana hidup saya dikelilingi kasih sayang keluarga sendiri," katanya menyimpulkan perbualan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |