{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Harian Metro: Hati

Posted by Tanpa Nama

Harian Metro: Hati


Lebih sihat & bertenaga

Posted: 19 May 2013 08:27 AM PDT

Sepasang suami isteri dalam lingkungan usia 40-an memberitahu penulis mereka gemar mengambil makanan segar berbanding dimasak. Amalan ini menjadikan mereka lebih prihatin terhadap alam sekitar dan lebih sihat kerana makan makanan yang mudah disediakan tanpa pemprosesan dan sebarang bahan tiruan.

Kata suami isteri itu lagi, dulu mereka makan semua jenis makanan sama ada berkhasiat atau tidak tetapi sejak mengamalkan gaya pemakanan sihat, berat badan semakin berkurangan, rasa lebih sihat dan bertenaga serta menghargai usaha diri sendiri menyediakan makanan berkhasiat dan seimbang.

Amalan gaya hidup sihat pasangan suami isteri ini menyedarkan penulis mengenai kesibukan seharian terutama wanita bekerjaya yang banyak mengambil makanan segera disebabkan kesuntukan masa menyediakan makanan sihat di rumah. Ternyata ini menyebabkan kualiti makanan harian terjejas.

Pengambilan makanan segar, makanan yang tidak dimasak serta diproses mempunyai enzim semula jadi yang membantu fungsi menjaga kesihatan badan. Tindakan memasak dan memanaskan makanan pada suhu lebih 40 hingga 46 darjah Celsius akan memusnahkan enzim semula jadi. Mereka juga tidak suka menggunakan pengawet, pewarna tiruan, perasa dan bahan tambah yang tidak perlu.

Foto

PAKAR Runding Diet, Indra Balaratnam.

Foto

SALAD buah-buahan yang mengandungi banyak khasiat.


Hal ini diakui Pakar Runding Diet, Indra Balaratnam yang menjelaskan semua benda hidup mengandungi enzim. Enzim ialah protein yang bertindak sebagai pemangkin khusus dalam proses kimia badan.


Ia diibaratkan seperti palam pencucuh dalam enjin kereta. Kajian dalam bidang sains moden mengenal pasti lebih 2,500 enzim berjaya ditemui dalam benda hidup.

"Makanan dimasak dan segar menyumbang kepada enzim yang diperoleh. Namun memasak pada suhu yang terlalu tinggi akan menghentikan atau mengurangkan aktiviti enzim kerana ia menjadi ternyah asli.

"Justeru, untuk mencapai tahap kesihatan optimum, kita perlu mengambil makanan dimasak dan segar bagi memastikan diet sihat dan seimbang. Sebahagian besar daripada fungsi enzim adalah untuk membantu penghadaman dan enzim mengandungi ciri antioksidan untuk meningkatkan tahap imun sel sihat dalam badan. Contohnya enzim bromelain yang didapati dalam nanas," jelasnya.

Konsep mengambil makanan dalam bentuk semula jadi atau makanan segar bukanlah sesuatu yang baru. Ini kerana amalan ini sudah dilakukan perintis dalam bidang kesihatan alternatif sejak bertahun-tahun lamanya.

Di Malaysia, semakin ramai mengambil banyak makanan dalam bentuk segar dan semula jadi dalam diet harian mereka. Sesetengahnya mengambil makanan yang boleh dimakan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, jus, bijirin dan kekacang sebagai sebahagian daripada diet biasa. Malah sesetengahnya pula makan daging segar atau yang dipanaskan tidak melebihi daripada 40 hingga 46 darjah Celsius.

Jelas Indra walaupun sesetengah makanan sudah biasa dimakan mentah seperti buah-buahan, kekacang dan bijirin tertentu, namun sesetengah yang lain pula perlu disediakan di dapur terlebih dulu supaya mudah dimakan.

"Pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijirin dalam bentuk segar adalah cukup lazim. Kebanyakan kita biasa mengambil salad, kerabu, ulam, buah segar atau kekacang atau bijirin. Tetapi ada penggemar makanan segar yang turut mengambil daging segar," katanya.

Tambah Indra, budaya berlainan di seluruh dunia mempunyai pelbagai cara untuk mengadun daging segar dengan rempah, sos sayuran dan jus, seperti sashimi (makanan laut segar yang dihiris nipis), carpaccio (hirisan nipis ikan atau daging), ceviche (makanan laut segar yang diperap), crudo (ikan segar dicampur dengan jus buah sitrus, cuka dan minyak zaitun), tartare (daging potong ditambah perasa) dan prosciutto (daging masin yang dikeringkan).

Usaha penggemar makanan segar mengambil lebih banyak sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijirin sebagai sebahagian daripada diet sihat patut dipuji kerana kepadatan nutrien dalam makanan itu. Diet yang mengandungi peratusan tinggi hasil asas tani seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin mempunyai kandungan serat, vitamin dan antioksidan yang tinggi.

Malah protein dan lemak sihat juga boleh didapati daripada kekacang dan bijirin. Usaha mengambil makanan dalam bentuk semula jadi dan tidak diproses juga adalah cara terbaik untuk mengurangkan bahan tambah yang tidak diperlukan.

"Secara amnya mereka yang makan makanan seperti ini berasa lebih sihat dan bertenaga. Selain itu, kaedah memasak tanpa penggunaan terlalu banyak minyak dapat mengurangkan kandungan lemak berbanding sajian goreng biasa yang berminyak," ujarnya.

Namun begitu, pertubuhan kesihatan profesional masih menasihati orang ramai untuk berhati-hati apabila mengamalkan pengambilan makanan segar semata-mata.
Salah satu daripada aspek yang patut diberi perhatian ialah pilihan yang terhad. Pengambilan makanan yang terhad dalam diet harian boleh menyebabkan kekurangan vitamin dan mineral.

"Nasihat peribadi saya ialah jika anda mahu mematuhi cara pemakanan makanan segar, pastikan anda tahu persediaan yang diperlukan dan merancang makanan dengan baik untuk memastikan anda dapat mempelbagaikan makanan dalam diet harian.

"Anda tidak perlu betul-betul mematuhi amalan, tetapi menambah pengambilan makanan segar dalam diet adalah cara terbaik untuk mengurangkan makanan kurang sihat. Ini adalah cara munasabah untuk mencapai keseimbangan pemakanan optimum. Anda hanya boleh menikmati manfaat diet yang sihat jika anda dapat mematuhinya secara konsisten.

"Mengamalkan pemakanan sihat untuk jangka pendek akan menyebabkan anda bersilih ganti dengan amalan pemakanan sihat dan tidak sihat. Tindakan seperti ini sia-sia saja. Anda akan rasa seolah-olah anda gagal melakukannya, lantas menimbulkan tekanan," jelasnya.

Perlu diingat pengambilan makanan segar atau semula jadi juga tidak disyorkan kepada semua orang kerana kemungkinan dijangkiti penyakit yang tersebar menerusi makanan akibat kewujudan bakteria dalam makanan segar yang tidak diurus dengan rapi.

Bakteria ini akan mati apabila makanan dimasak dengan teliti. Makanan segar, makanan laut, susu tidak pasteur, telur segar dan juga sayur-sayuran segar tertentu seperti cendawan semuanya mempunyai bakteria dan mikro yang hanya boleh dihapuskan apabila dimasak dengan teliti.

Memanaskan makanan ini hanya kepada antara 40 hingga 46 darjah tidak cukup untuk membunuh bakteria. Bayi, anak kecil, kanak-kanak, warga tua, wanita hamil dan mereka yang mempunyai tahap imun yang lebih rendah seharusnya tidak mengambil makanan mentah.

"Mengambil makanan segar untuk menggantikan makanan diproses ialah satu pilihan bijak sebagai tabiat pemakanan yang lebih sihat dan kehidupan yang sejahtera. Badan yang lebih sihat turut menyerlahkan penampilan luaran anda.

"Jika anda mengerutkan muka kerana berpendapat makanan segar tentunya rasa tawar atau membosankan, anda pasti terkejut kerana mendapati penggemar makanan segar boleh menyediakan sajian menarik dan menambat selera menerusi kaedah memasak tanpa menggunakan kepanasan tinggi atau pemprosesan.

"Antara lain termasuk menyahhidrat (menggunakan alat penyahhidrat, iaitu kaedah yang lazim digunakan oleh penggemar makanan segar), membuat jus, menggaram, menjeruk, mengawet dan menapai. Ada banyak laman web resipi dan juga buku yang memberi petua dan berkongsi cara menyediakan makanan segar," jelas Indra.

Cadangan penyediaan makanan segar ke dalam sajian:

1. Gantikan sarapan berminyak dengan semangkuk muesli dengan emping bijiran, buah-buahan kering, kekacang, hirisan kelapa kering dengan susu sejuk.

2. Untuk makan tengah hari atau makan malam ringan Sediakan salad dengan mencampurkan sayuran hijau rangup, lada benggala merah cincang, timun dipotong dadu, buah-buahan segar dihiris, bijan dan kekacang dengan minyak zaitun buahan segar, bijan dan kekacang dengan renjisan minyak zaitun atau kuah salad Perancis. Sekali-sekala nikmati sajian Jepun, seperti sushi.

3. Untuk snek antara waktu makan lupakan keropok atau kerepek yang masin. Sebaliknya ambil snek sihat seperti buah segar atau buah kering seperti aprikot, kranberi atau kismis dengan kacang campuran.

4. Untuk minuman yang menghilangkan dahaga, dapatkan secara jus buah-buahan yang diperah segar atau minuman adunan buah. Pilihan ini jauh lebih baik daripada kafein dan minuman yang penuh dengan gula.

5. Sentiasa sediakan semangkuk sayur dan buah segar untuk dihidangkan bersama semua sajian anda sebagai hidangan sampingan.

6. Sedikit kacang dan bijirin boleh dijadikan snek enak untuk menambah tenaga anda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

Sihat Cergas: Seronok bersenam

Posted: 19 May 2013 07:48 AM PDT

Suatu ketika dulu, senaman aerobik begitu digilai kanak-kanak dan wanita kerana tidak terlalu berat, sebaliknya menghiburkan apatah lagi ia dilakukan bersama iringan muzik berentak rancak.

Ia diminati ramai wanita kerana memberikan kesan begitu memberangsangkan, sama ada dari segi kesihatan mahupun kecantikan khususnya penjagaan bentuk tubuh.

Kini, ia masih diteruskan tetapi perlu bersaing dengan beberapa jenis senaman lain yang lebih cepat memberikan perubahan pada fizikal seseorang pengamalnya.

Aerobik adalah jenis senaman kardiovaskular yang memaksa jantung dan paru-paru untuk bekerja lebih kuat daripada kebiasaan di samping membantu proses penurunan berat badan.


Ini berikutan setiap gerak langkah senaman itu akan diiringi muzik yang turut membantu menyegarkan fikiran, sekali gus mendatang­kan perasaan seronok dan menghilangkan bosan.


Sebab itu, senaman aerobik mampu memberikan individu lebih variasi de­ngan tambahan keseronokan diimpikan dan pilihan sesuai untuk ramai wanita termasuk ibu yang baru lepas ber­salin atau ada anak kecil.

Justeru, bagaimana de­ngan melakukan senamrobik ia boleh membantu untuk seseorang menurunkan berat badan?

Mudah dilakukan

Kita boleh mendaftar di pusat kecergasan ataupun melakukannya sendiri di rumah. Alternatif lain yang lebih menjimatkan adalah menyertai kelas senam aerobik dianjurkan secara percuma oleh sesiapa saja termasuk pihak sekolah, pejabat dan dan sebagainya.

Sekiranya anda malas untuk menyertai kelas seperti ini, cuba beli cakera padat berkaitan senam aerobik dan memasangnya di rumah. Selain dapat bersenam, kita juga dapat menggalakkan anak-anak dan seluruh keluarga mengamalkan gaya hidup sihat ini.

Cara mudah untuk membakar kalori

Ya, senaman aerobik adalah satu cara yang mudah untuk membakar kalori kerana apabila melakukan­nya, pergerakan yang diiringi muzik akan mengalihkan fokus minda kita kepada satu keadaan menenangkan dan mengelakkan kita daripada bosan.

Oleh itu, apabila kita kerap melakukannya, ia menjadi lebih mudah untuk badan membakar kalori berbanding larian mahupun aktiviti lain.

Muzik yang mengiringi senaman aerobik juga terbukti salah satu cara untuk menghilangkan tekanan yang kita alami seharian. Percayalah, apabila kita tidak bosan melakukan sesuatu senaman sebab kita gembira melakukannya, ia akan memberi semangat kepada kita untuk meneruskan senaman dan sekali gus menurunkan berat badan.

Cara mudah meningkat­kan kadar metabolisma badan

Metabolisma adalah jumlah kalori yang dibakar oleh badan untuk mengekal­kan fungsi dan nyawa. Segala aktiviti (termasuk proses pernafasan dan sistem badan) memerlukan tenaga (sumber kalori).

Ini bermakna kita memerlukan kadar metabolisma yang tinggi untuk membantu proses penurunan berat badan. Senaman ini salah satu senaman yang boleh meningkatkan kadar metabolisma badan kerana ia membabitkan pergerakan seluruh badan, penggunaan otot badan yang akan memaksa jantung bergerak dengan lebih pantas, seterusnya membakar kalori di dalam badan.

Baik untuk sistem kardiovaskular

Senaman aerobik memberi banyak kebaikan untuk sistem kardiovaskular, sekali gus membantu menurunkan berat badan. Proses penurunan berat badan adalah satu proses yang unik di mana banyak sistem badan yang boleh dibaiki dan dirawat ketika proses itu berlangsung.Antaranya mening­katkan kecergasan fizikal, memperbaiki keseimbangan koordinasi dan gaya jalan, meningkatkan tenaga dan stamina untuk melakukan tugasan harian, mempertingkatkan kawalan glukosa dan menguatkan tulang serta sistemnya.

Dengan kata mudah, kita akan lebih bertenaga dan aktif dalam melakukan aktiviti fizikal serta tidak berasa cepat penat. Semua perkara ini akan membawa kepada peningkatan metabolisma dan mempercepatkan penurunan berat badan.

Fakta kebaikan senaman aerobik

  • Membantu memperluaskan paru-paru dan meningkatkan stamina serta kekuatan otot.
  • Menjaga jantung dan paru-paru supaya dapat bekerja dengan baik.
  • Meningkatkan koordinasi penting untuk gaya hidup sihat.
  • Kaedah bagus membentuk tubuh.
  • Membakar kalori dan menurunkan berat badan.
  • Membantu meningkat­kan kepadatan tulang dan membantu mengurangkan risiko osteoporosis.
  • Peluang bertemu dan berkenalan dengan teman baru.
  • Meningkatkan semangat dan endorfin, sekali gus menimbulkan perasaan senang hati dan mengurang­kan risiko kemurungan.
  • Membuatkan fikiran tenteram dan aktif.
  • Meningkatkan dan membantu merangsang memori dengan mengingati semua langkah.
  • Membantu masalah tidur.
  • Meningkatkan kesejahteraan secara keseluruhan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

    Leave a Reply

    Raja Alias

    Segamat

    Kuantan

    G. Musang

    Trolak

    J. Bahru

    Terengganu

    Mempaga

    A. Setar

    Jengka

    Sahabat