Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
Beban luar biasa penghidap Parkinson Posted: Beban luar biasa penghidap ParkinsonOleh NURUL IZZA ROSLY MUHAMMAD ALI dan Michael J. Fox, dua nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Seorang merupakan petinju yang hebat, manakala seorang lagi pelakon yang sinonim dengan filem sains fiksyen, Back to the Future. Di sebalik populariti yang diraih mereka dalam bidang masing-masing, umum mengetahui bahawa kedua-dua mereka menderita kerana menghidap penyakit Parkinson. Mohammad Ali didiagnosis menghidap sindrom Parkinson pada tahun 1984 pada usia 42 tahun, manakala Michael mengalami simptom-simptom awal penyakit tersebut ketika usianya 29 tahun iaitu pada tahun 1990 ketika menjayakan penggambaran filem Doc Hollywood. Michael didiagnosis setahun kemudian. Hari Parkinson Sedunia jatuh pada setiap 11 April setiap tahun sempena memperingati hari lahir James Parkinson yang merupakan individu pertama mengenal pasti penyakit itu pada tahun 1817. Kini, dianggarkan 50,000 hingga 60,000 rakyat Malaysia didiagnosis menghidap penyakit Parkinson. Angka tersebut dijangka akan meningkat memandangkan pertambahan populasi warga emas. Ramai yang tidak tahu bahawa banyak cabaran yang perlu dihadapi pesakit Parkinson seperti masalah pertuturan, masalah membuang air kencing, kesukaran menelan dan sembelit yang berpunca daripada kemerosotan otak. Bagi penjaga, ahli keluarga dan pesakit, ia merupakan satu perjalanan emosi yang penuh trauma. Selaku kumpulan sokongan kebangsaan, Persatuan Parkinson Malaysia penuh dedikasi membantu memberi sokongan kepada penghidap Parkinson, penjaga serta ahli keluarga mereka di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan pendidikan dan emosi. Ia bagi menggalakkan penyelidikan dan pengurusan Parkinson sejajar dengan amalan perubatan terbaik. Kesedaran PD Dalam pada itu, Gabungan Parkinson Dunia berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) komited untuk mengadakan satu forum antarabangsa bagi membolehkan penemuan saintifik terbaik, amalan perubatan dan inisiatif yang dapat dilakukan penjaga berkaitan dengan Parkinson atau PD. Ia menyelia Kongres Parkinson Sedunia (WPC) yang diadakan tiga tahun sekali. WPC kali ketiga akan mengambil tempat di Montreal, Kanada bermula 1 hingga 4 Oktober dan Malaysia merupakan salah satu organisasi yang mengambil bahagian. PENGHIDAP PD memerlukan sokongan moral daripada ahli keluarga mahupun rakan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik. "Kami menyedari bilangan mereka yang menghidap PD dalam populasi global semakin meningkat rentetan peningkatan populasi golongan berusia. Ia dijangka meningkat dua kali ganda dalam masa 20 tahun akan datang. "Ia memberikan impak yang serius kepada sistem penjagaan kesihatan di peringkat global, secara tidak langsung mempengaruhi kualiti hidup," kata Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Parkinson Sedunia, New York, Eli Pollard. Menurutnya, ramai yang mahu mengenali PD dan kesedaran mengenainya mula meningkat, namun begitu bilangan mereka yang didiagnosis menghidap PD tidak jelas dan dianggarkan tujuh juta orang di seluruh dunia. Hakikatnya, tiada penawar atau ubat buat PD dan sehingga kini tidak seorang pun mengetahui apa yang menyebabkannya. Tambahnya, PD bukan berpunca daripada genetik tetapi ada pendapat yang mengatakan jika seseorang daripada ahli keluarga terdekat menghidap PD, maka risiko seseorang itu untuk menghidapnya juga tinggi. Kata Eli, di AS, untuk sesuatu ubat berada di pasaran adakalanya ia mengambil masa lebih kurang 15 tahun selain menjalankan penyelidikan berterusan. "Di Malaysia ramai yang tidak tahu apa itu Parkinson dan masih banyak maklumat yang tidak diketahui. "Ia suatu beban yang luar biasa terhadap seseorang yang menghidap PD. Ada yang berpendapat ia adalah penyakit sekeluarga dan seseorang akan hidup dengan PD antara 15 hingga 20 tahun atau 25 hingga 30 tahun," katanya sambil memberitahu, penghidap PD tidak akan menyebabkan kematian seperti penghidap penyakit kanser. Jelasnya, dalam banyak situasi apabila seseorang itu didiagnosis dengan PD, dia cenderung untuk merahsiakan daripada ahli keluarganya kerana menganggap ia sebagai sesuatu yang memalukan. Eli memberitahu, PD bukanlah suatu perkara yang memalukan. Ia masalah gangguan neurologikal dan ramai yang telah hidup dengannya di seluruh dunia. Dopamine beransur-ansur musnah Dalam pada itu, Ketua Unit Neurologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datin Dr. Norlinah Mohamed Ibrahim memberitahu, secara keseluruhannya kesedaran terhadap PD di Malaysia meningkat sedikit, namun ia masih tidak mencukupi. NORLINAH sedang mendengar luahan penghidap PD pada majlis minum petang dan Kempen Kesedaran Mengenai Pesakit dan Penyakit Parkinson di Pusat Parkinson Malaysia baru-baru ini. "Penyakit ini tidak mengira usia dan jantina. Biasanya penghidapnya terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas, namun ada juga golongan usia daripada umur 40-an. Bagaimanapun peratusan pesakit PD muda tidak banyak iaitu lebih kurang 10 peratus daripada kesemua penghidap PD. "Pesakit paling muda berumur antara 16 hingga 21 tahun. Itu antara pesakit muda yang didokumentasikan di dunia, tetapi bukan di Malaysia. Pesakit saya yang paling muda berumur 28 tahun," katanya. Norlinah memberitahu, Parkinson berpunca apabila sel-sel di dalam otak yang mengandungi dopamine beransur-ansur musnah dengan sendirinya. "Kemungkinan ia terjadi kerana faktor persekitaran dengan gen saling bertindak menyebabkan berlakunya kemerosotan sel saraf dopaminergic. "Apabila ia beransur-ansur musnah dan sel saraf tersebut mengalami kemerosotan dan bilangannya kurang daripada 50 peratus di dalam otak, pesakit akan mula mengalami gejala PD seperti menggeletar, pergerakan menjadi lebih perlahan, ketidakseimbangan badan dan ketegangan otot," ujarnya sambil memberitahu postur penghidap PD lebih membongkok akibat ketegangan otot bahagian depan badan. Postur distonia juga dikenal pasti berlaku akibat ketegangan otot. Dalam masa yang sama, penghidap PD mengalami keperlahanan atau bradikinesia. Bradikinesia ialah gejala PD. Jika seseorang itu mengalaminya, kemungkinan besar dia mengalami PD. Contohnya, apabila seseorang itu menulis lama-kelamaan ia terhenti sendiri secara tiba-tiba. "Penghidap PD boleh dirawat dengan menggantikan dopamine dengan mengambil pil. Apabila pil Levodopa dimakan, ia akan menjadi dopamine di dalam perut dan diserap ke dalam salur darah seterusnya sampai ke otak. "Apabila sampai ke otak, ia akan bertindak dengan otot pesakit. Otot-otot kemudian akan memulihkan simptom-simptom yang dialami pesakit. PD tiada penawar, namun ia boleh dirawat dan dikawal dengan baik terutama di peringkat awal," jelasnya sambil memberitahu jika penggunaan ubat tidak berkesan, pembedahan rangsangan di dalam otak boleh dijalankan secara sedar tetapi kosnya tinggi iaitu sekitar RM73,000. Katanya, tiada pantang untuk penghidap PD, cuma apabila berada di peringkat pertengahan, mereka tidak boleh mengambil dopamine dengan protein kerana ia tidak berkesan. Penghidap PD memerlukan diet seimbang terutamanya protein. Sembelit merupakan masalah besar dalam kalangan pesakit PD. Selain itu mereka juga terdedah kepada kemurungan, kelesuan, sembelit, ketidakstabilan tekanan darah, mati pucuk, masalah kencing dan sebagainya. "Bukan mudah untuk hidup dengan PD kerana ia mencabar sepanjang masa. Pesakit perlu kuat memerlukan sokongan keluarga," katanya sambil mengakui, golongan lelaki lebih berisiko sedikit berbanding wanita. | |
Posted: Syampu merapi rambut kusutOleh NIZHA PERIASWAMY EDWARD (kiri) bergambar bersama selebriti tempatan dan anak pada majlis pelancaran syampu kanak-kanak Detangling & Frizz Control koleksi terbaharu Carrie Junior. RAMBUT merupakan antara mahkota berharga bagi wanita, gadis dan kanak-kanak perempuan. Boleh dikatakan setiap masa golongan tersebut sentiasa memastikan helaian rambut mereka dijaga dan didandan rapi. Para ibu khususnya yang memiliki anak perempuan akan memberi tumpuan ekstra terhadap kecantikan rambut si kecil. Setiap fasa perkembangan fesyen dan aksesori rambut kanak-kanak yang ditawarkan di pasaran diteliti sebaik mungkin supaya permata hati tampil cantik dan bergaya. Bertambah menarik, kanak-kanak perempuan yang menginjak usia empat tahun dikatakan mula mengambil berat tentang kecantikan rambut. Selain mengikat rambut ala ekor kuda atau membuat jalinan tocang, menyemat klip dan menggayakan cekak rambut berwarna-warni turut menjadi pilihan si comel. Namun begitu sebagai ibu bapa keprihatinan terhadap penjagaan dan kecantikan rambut anak-anak perlu seimbang. Jika anda sanggup membelanjakan sejumlah wang membeli aksesori rambut yang pelbagai ibu bapa juga sewajarnya mendapatkan produk penjagaan rambut yang selamat untuk kanak-kanak. Ini disebabkan tanpa penjagaan yang rapi rambut kanak-kanak mudah terdedah pada masalah kutu, berbau dan kekusutan.
Rambut kering Menurut Pengurus Pemasaran Wipro Unza (Malaysia) Sdn. Bhd., Edward Chen, kebanyakan kanak-kanak perempuan kerap berhadapan dengan masalah rambut kusut sehingga sukar untuk disikat dan dicuci. Masalah kusut tersebut semakin menjadi-jadi apabila rambut kanak-kanak diikat tocang. "Jika masalah kekusutan tidak dibendung dengan awal ia akan menyebabkan rambut mudah kering dan rosak. Kesannya, kanak-kanak akan merungut sakit setiap kali menyikat rambut. "Justeru bagi mengatasi masalah rambut kusut Carrie Junior memperkenalkan syampu kanak-kanak terbaharu Detangling & Frizz Control yang membantu mengawal kekusutan rambut supaya proses menyikat, menggaya dan mencuci rambut sesi yang menyeronokan," jelas Edward yang memiliki seorang anak perempuan kepada Kosmo! pada majlis pelancaran syampu Detangling & Frizz Control di Petaling Jaya, Selangor. Tambah Edward sebagai seorang bapa yang prihatin terhadap anaknya, menjaga kesihatan dan kecantikan rambut adalah satu cabaran buat dia dan isteri. Dia sentiasa memastikan kesihatan rambut anak perempuannya dijaga baik memandangkan permata hatinya itu kerap terlibat dengan pelbagai aktiviti di sekolah dan di luar rumah yang terdedah pada matahari. KANAK-KANAK tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam aktiviti pada majlis Carrie Junior. Sementara itu, model dan pelakon tempatan Zahnita Wilson, 28, yang ditemui pada majlis yang sama turut memberikan maklum balas positif terhadap syampu Detangling & Frizz Control. Jelas wanita berdarah Melayu-Australia itu selepas anaknya, Zahrafina Abdul Zackery, 6 menggunakan syampu berkenaan dia semakin seronok untuk berdandan. "Sebelum ini, anak saya selalu merungut kerana rambut kusut. Sesekali dia akan menjerit kecil apabila helaian rambutnya tersekat-sekat pada sikat sehingga dia enggan untuk menyikat rambut. Namun sejak menggunakan syampu Detangling & Frizz Control, sesi menyikat rambut dilakukan dengan mudah. "Malah, Zahrafina semakin teruja untuk mencuba bermacam-macam gaya rambut sama ada ikat ala ekor kuda, bertocang atau sanggul comel," tutur Zahnita mengenai perihal puteri sulungnya itu yang turut menyukai bau buah-buahan yang terdapat pada syampu tersebut. Selain kehadiran Zahnita, pentas majlis pelancaran produk keluaran terbaharu Carrie Junior itu juga diserikan dengan selebriti jemputan seperti Sharifah Sofia Syed Hussein dan Natasha Hudson bersama anak perempuan masing-masing. Sepanjang majlis berlangsung pengunjung diberi peluang mempelajari cara dandanan rambut daripada jurugaya rambut profesional dan aktiviti menghasilkan aksesori rambut. | |
Lima langkah kurangkan berat badan Posted: Lima langkah kurangkan berat badanKINI, ramai wanita khususnya mula menitikberatkan mengenai masalah berat badan. Masing-masing semakin ghairah mencari penyelesaian terbaik bagi mendapatkan bentuk badan yang diidamkan. Selain mengambil suplemen untuk kurus, segelintir wanita cenderung memilih rejim diet yang ketat dan melakukan senaman bagi membakar lemak yang menghuni dalam badan mereka. Namun, tidak semua cara tersebut sesuai dengan semua orang. Sungguhpun begitu, anda boleh mencuba lima langkah yang membantu mengurangkan berat badan. Langkah 1 Strategi paling asas penurunan berat badan yang popular adalah membakar lebih banyak kalori daripada apa yang anda ambil. Ia tidak sukar untuk dilakukan. Anda perlu belajar mengubah suai diet dengan mengurangkan makanan tinggi lemak serta melakukan senaman ringkas selama 20 minit sebanyak tiga kali seminggu. Langkah 2 Menyertai pusat gimnasium yang menawarkan alat senaman yang bagus dan jurulatih bertauliah. Bersenam secara sistematik dan mengikut keupayaan tubuh membantu melancarkan proses penurunan berat badan. SENAMAN ringkas selama 20 minit sebanyak tiga kali seminggu membantu mengurangkan berat badan seseorang. Aerobik salah satu bentuk senaman ideal yang boleh dimasukkan dalam pelan senaman selain daripada sesi latihan angkat berat atau latihan rintangan. Sesi senaman tersebut membantu pembentukan tubuh dan secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri. Langkah 3 Seperti yang kita sedia maklum sesi konsultasi bersama pakar pemakanan kadangkala memerlukan individu membelanjakan sejumlah wang yang tinggi. Namun usah berputus asa kerana anda masih berpeluang menurunkan berat badan dengan ilmu dan tip diet secara percuma. Caranya, banyakkan membaca info mengenai corak pemakanan seimbang menerusi blog dan laman web pakar pemakanan tempatan mahupun luar negara. Sungguhpun begitu, ramai yang mengalah kerana bosan dengan kepelbagaian menu dalam pola diet tersebut. Sewajarnya, anda perlu kreatif dan bijak mengubah menu pemakanan asalkan ia seimbang, rendah kalori dan rendah lemak. Langkah 4 Cari pasangan untuk melakukan senaman. Jika anda dan rakan mempunyai waktu terluang pada hari yang sama pilihlah untuk bersenam, berjoging ataupun berenang bersama-sama. LATIHAN angkat berat salah satu cara untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal. Bersenam bersama teman lebih menyeronokkan berbanding bersenam seorang diri. Ia membantu menangkis rasa malas dan bosan sebaliknya ia membantu menyuntik motivasi untuk anda terus bersenam sebaik mungkin. Langkah 5 Kebanyakan pengamal perubatan menasihatkan makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Kaedah tersebut merupakan cara yang terbaik kerana apabila menikmati makanan yang sedikit tetapi kerap memudahkan badan menyerap lebih banyak nutrien yang terdapat dalam makanan. Walau bagaimanapun, proses penurunan berat badan bergantung kepada usaha, kegigihan dan tahap disiplin seseorang itu. Kombinasi senaman secara sistematik, pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat membantu melancarkan proses penurunan berat badan dan memberikan hasil yang mengagumkan. * Sumber: healthtips.net.in |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |