{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Muka baharu ikrar khidmat terbaik

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD dan NURUL HUDA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri selepas majlis istiadat pengisytiharan pelantikan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di Dewan Persidangan Negeri Johor, Bangunan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, semalam. - BERNAMA

JOHOR BAHRU 14 Mei - Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baru dilantik berikrar menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan adil demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohamad, 54, berkata, beliau berjanji membantu Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaik mungkin memaju dan meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat negeri ini.

"Boleh dikatakan rakyat Johor kini mengalami kejutan selepas tsunami Cina dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Kita tidak sangka masyarakat negeri ini terpedaya dengan taktik kotor pembangkang dengan meniupkan isu perkauman menyebabkan mereka terpedaya dengan tipu helah dan fitnah yang menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang 18 daripada 46 kerusi DUN.

"Maknanya, mulai sekarang barisan Exco bersama Menteri Besar akan melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti kelemahan dan mengambil tindakan segera bagi memperbaiki perpaduan rakyat yang tercalar," katanya.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pembangunan Luar Bandar ditemui selepas Majlis Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini.

Sementara itu, ADUN Johor Lama, Asiah Mohd. Ariff yang dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengakui cabaran yang sedang menunggu cukup besar dan memerlukan ketahanan fizikal dan mental untuk mengatasinya.

"Kita berhadapan dengan 18 ADUN pembangkang, ini menuntut kerja keras bagi membolehkan apa jua usaha dan perancangan yang bakal dilaksana sampai ke akar umbi seterusnya rakyat dapat menikmatinya secara menyeluruh.

"Apa pun kita kena bekerja sebagai sebuah pasukan untuk mentadbir urus kerajaan negeri secara berkesan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

ADUN Layang-Layang, Abd. Mutalip Abd. Rahim, 43, yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama pula berkata, banyak perkara harus disemak serta diperhalusi bagi membolehkan masyarakat Islam dan seluruh rakyat negeri ini bersatu padu.

"Saya akan menggunakan pendekatan dakwah bagi mengembalikan kesepakatan rakyat seperti biasa. Apa pun saya mengharapkan umat Islam bertenang dan berfikir secara waras dan jangan sesekali terikut-ikut politik taksub," katanya.

Sementara itu, Datuk Abd. Latiff Bandi pula berterima kasih dan bersyukur kerana dilantik sebagai salah seorang Exco dan berjanji memastikan tanggungjawab dan amanah yang diberi dilaksana sebaik mungkin.

ADUN Endau berkenaan mengakui portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diamanahkan kepadanya merupakan tugas berat namun memberi jaminan akan membuat perancangan terbaik untuk melaksanakannya.

"Kita tahu masalah perumahan menjadi antara perkara penting. Jadi, saya akan membuat perancangan terbaik untuk menangani masalah perumahan dan perkara- perkara yang berkaitan dengan kerajaan tempatan," katanya.

Usahawan wanita disaran pasar produk dalam talian

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

PONTIAN 14 Mei - Golongan usahawan wanita tempatan disaran memohon dan menggunakan geran yang disediakan di bawah program Get Malaysia Business Online (GMBO) bagi melonjakkan perniagaan dalam talian.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, GMBO merupakan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 bagi manfaat 50,000 usahawan mikro di seluruh negara dengan setiap usahawan menerima sebanyak RM1,000 bagi membantu mereka memasarkan perniagaan secara dalam talian.

"Ini merupakan salah satu daripada objektif kewujudan Pusat Jalur Lebar bukan sahaja untuk merapatkan jurang digital, tetapi juga membangunkan ekonomi penduduk setempat," katanya dalam program Jom Celik Minda Merentasi Dunia Maya di Pusat Jalur Lebar 1Malaysia di Kampung Permatang Sepam, Benut dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pemangku Ketua Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Selatan, Roszeta Kassim.

Ahmad berkata, kini terdapat ramai usahawan wanita yang melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti membuat makanan ringan, jahitan, ternakan ayam kampung dan inap desa.

"Aktiviti ekonomi tambahan seperti itu sebenarnya boleh dipasarkan secara dalam talian kerana cepat dan mudah untuk tersebar secara meluas melalui kemudahan internet," katanya.

Justeru, beliau menyeru usahawan wanita agar dapat memanfaatkan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk merebut pasaran yang lebih terbuka bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.

Medium lahirkan belia patriotik

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

Oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 14 Mei - Festival Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-50 atau lebih dikenali sebagai Fesko-50 yang bertemakan 'Patriotisme dan Edutainment' menjadi medium terbaik untuk melahirkan belia yang bersemangat patriotik.

Pengisian sepanjang enam hari penganjuran tersebut dilihat mampu memberi suntikan semangat kepada para penuntut supaya lebih cintakan negara, sekali gus menjulang nama Malaysia di mata dunia.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni), Prof. Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz berkata, golongan belia adalah tunjang utama kepada pembangunan dan kecemerlangan negara.

"Pembentukan nilai-nilai murni dalam diri penuntut merupakan aset yang akan membawa negara ke tahap lebih tinggi. Salah satu nilai murni yang perlu ada dalam diri seorang mahasiswa ialah semangat patriotisme yang tinggi.

"Ilmu-ilmu dipraktikkan ke arah yang positif diiringi semangat patriotisme tinggi dapat melahirkan insan yang berupaya membimbing diri, organisasi, masyarakat dan negara ke arah lebih baik," katanya dalam Majlis Penutupan Fesko-50, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Rose Alinda Alias; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim dan Pengarah karnival berkenaan, Muhammad Farhan Azmir.

Festival tersebut merupakan acara pertama yang dikendalikan oleh beberapa usahawan mahasiswa yang bernaung di bawah Kelab Usahawan Alumni Tekno UTM selain dibantu Unit Perhubungan Alumni, Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa serta Pusat KoKurikulum.

Antara aktiviti Fesko-50 yang berakhir Ahad lalu adalah persembahan artis seperti Ainan Tasneem, Najwa Latif, Kumpulan Shiro, larian sambil menderma Lahad Datu, forum gabungan Aman Palestin dengan Aqsa Sharif dan makan malam dalam 'Charity Night with Orphanage'.

Mohd. Ismail turut berharap festival tersebut mampu merealisasikan impian membentuk modal insan yang cemerlang, memupuk semangat dan nilai-nilai murni dalam diri mahasiswa dan masyarakat.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat