Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Bintang Syurga susuri Erti Cinta Posted: 05 Jun 2013 03:56 PM PDT Walaupun sudah membuktikan dirinya seorang pelakon hebat dengan pencapaian meraih pelbagai anugerah dari dalam serta luar negara, cinta Maya Karin Roelcke terhadap nyanyian tidak pernah padam. Apatah lagi, pernah menghasilkan dua album iaitu Erti Cinta dan Bukan Qalamaya sebelum ini, Maya memaklumkan muzik dan nyanyian adalah cinta pertamanya. Jadi, sampai bila-bila pun ia takkan pudar. Pun begitu, kesibukan Maya yang nyata lebih menonjol di pentas lakonan membuatkan namanya kelihatan tenggelam dalam bidang nyanyian. Hingga kini, sudah hampir 10 tahun karier nyanyian Maya menyepi. Namun, tiada apa yang mampu diucapkan aktres jelita ini melainkan kesyukuran tak terhingga ke hadrat Ilahi apabila dia dilamar syarikat rakaman ternama Warner Music Malaysia. MAYA kini bernaung sebagai artis di bawah Warner Music Malaysia.
"Saya sekadar melihat ke arah lebih positif untuk memantapkan karier seni yang sudah dibina sejak 2000. Apatah lagi, selepas pelbagai onak duri pernah dilalui membuatkan saya semakin matang. "Menyertai Warner Music sebagai artis naungan mereka, secara tidak langsung membantu menyinarkan semula karier nyanyian saya yang sudah agak lama ditinggalkan. "Kini, di bawah label syarikat besar dan ternama, saya semakin yakin karier nyanyian yang agak lama menyepi itu kembali dapat dikongsikan bersama peminat saya semula," katanya. Mengulas mengenai tanggungjawab dan kepercayaan sangat besar diberikannya kepada Warner Music yang turut bertindak menguruskan sepenuhnya karier seni Maya, dia berkata, sudah tiba masanya berbuat demikian. "Biarpun sekarang saya sudah berada pada tahap yang tersendiri dengan pelbagai pencapaian diraih, sebenarnya ia lebih membuatkan jadual saya semakin sibuk. "Justeru, dengan kesibukan itu serta ditambah jadual yang terlalu padat membuatkan saya terlalu letih untuk menguruskan semuanya sendiri lagi. "Oleh itu, saya mengambil keputusan menyertai Warner Music demi memastikan perjalanan karier seni yang sudah sekian lama dibina ini sentiasa lancar," kata. Ujar pelakon berusia 33 tahun itu tanpa berselindung, dia sudah tidak mampu untuk menguruskan kerjaya seninya sendiri dan sangat memerlukan khidmat pembantu. Kata wanita kacukan Melayu-Jerman ini lagi, sekarang menerusi syarikat pengurusan dinaunginya, ia pasti lebih memudahkan pihak ketiga yang ingin berurusan dengannya kerana tidak perlu menunggu jawapan agak lama. "Melalui Warner Music yang mewakili saya, ia sudah tentu lebih melancarkan setiap perbincangan di antara kami. Saya juga boleh membuat keputusan segera. "Selain itu, dengan kerjasama saya dan Warner Music ini pelbagai strategi mula diaturkan untuk mengukuhkan lagi nama saya dalam industri seni tempatan dan antarabangsa," katanya. Apa yang pasti, Maya juga memaklumkan keputusan diambilnya itu turut berkait rapat dalam usaha memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada kehidupan peribadinya. Dari segi lakonan, Maya akan muncul dalam beberapa filem baru pada tahun ini dan tahun depan, antaranya Sejoli, Lagenda Budak Setan 3 dan Jwanita. Sebelum Maya pernah membintangi Anak Halal, Duyung, Pontianak Harum Sundal Malam, Pisau Cukur, 1957: Hati Malaya, Waris Jari Hantu dan Ombak Rindu. Enggan dedah buah hati terbaru Hampir empat tahun menjalani kehidupan solo selepas gagal dalam rumah tangga dibina bersama jejaka Inggeris, Muhammad Ali atau nama sebenarnya, Steven David Shorthose pada 2010, Maya tidak serik bercinta lagi. Buktinya, dia tanpa berselindung kepada media memaklumkan kini dirinya dalam proses mengenali hati budi seorang lelaki. "Cuma, hubungan kami masih baru dan dalam peringkat awal lagi. Jadi, cukuplah hanya saya kini sedang mengenali seseorang. "Kami juga sudah lama berkenalan tetapi masih baru lagi dalam fasa percintaan. Justeru, belum masanya juga lagi untuk berbicara lanjut mengenainya," katanya. Mengakui sudah tiba masanya untuk dia membuka hati bagi menerima satu hubungan baru, Maya bagaimana pun berkata, biarlah hubungan dijalinnya itu berkembang secara perlahan-lahan. "Selepas apa yang pernah saya lalui sebelum ini pada kegagalan lalu, saya sudah tidak mahu terlalu berharap serta cepat menaruh impian tinggi. "Bagi saya, jodoh pertemuan adalah ketentuan Tuhan dan biarlah semua itu berjalan mengikut apa yang sudah diaturkan untuk saya. Saya tidak mahu terburu-buru. "Lagi pun sekarang saya lebih selesa berpandangan positif dalam semua perkara termasuklah soal jodoh ini. Sebagai manusia biasa, saya yakin ketentuan Ilahi," katanya. Apapun, akui Maya yang akan muncul dengan album baru di pasaran sekitar penghujung tahun ini, dia sebenarnya memerlukan lelaki yang cerdik, memahami dan berdikari. Tetap mempertahankan 'rahsia' gerangan cinta hatinya, Maya bagaimanapun memberitahu lelaki itu juga orang dalam industri hiburan dan mereka juga menjalani hubungan jarak jauh. Selain Maya, hadir sama pada sesi pradengar single Bintang Syurga itu ialah Omar K selaku penerbit dan Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |