Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Josiah suka 'wanita Melayu terakhir'
- Dharma terkejut menang anugerah
- Scha ingin doa dapat anak depan Kaabah
Josiah suka 'wanita Melayu terakhir' Posted: Josiah suka 'wanita Melayu terakhir'AKTOR berwajah kacukan Amerika-Latin yang bernama Josiah Hogan ini mencipta nama menerusi watak Razif dalam drama Bicara Hati. Dia kemudiannya mula mencuri hati para peminat wanita selepas membawa peranan Dr. Hud, seorang lelaki budiman dalam drama yang kini sedang hangat ditayangkan di kaca TV9 iaitu Cinta Jangan Pergi. Mengakui sukar untuk menerima peranan utama dalam drama mahupun filem Malaysia kerana wajah Amerika-Latin yang dimilikinya, namun dia bersyukur kerana sering ditawarkan dengan watak-watak mencabar. "Alhamdulillah, perlahan-lahan saya mendapat kepercayaan untuk membawa watak yang mencabar dan berharap ia berterusan. Memang saya suka pada watak mencabar dan baharu," ujar Josiah. Pernyataan tersebut, antara lain merujuk kepada peranan baharu yang dibawanya kini dalam drama seram berjudul What If yang sedang ditayangkan di 8TV. Josiah memegang watak lelaki gila dan psiko bernama Imzan. Lancar bertutur dalam bahasa Melayu tanpa secalit pun slanga Sepanyol, aktor berusia 27 tahun itu juga sebenarnya mempunyai selera luar biasa terhadap wanita pilihannya. Luar biasa yang dimaksudkan adalah kerana Josiah bukan menyukai wanita Amerika-Latin seperti dirinya malah dia lebih sukakan wanita Melayu yang penuh dengan ciri-ciri ketimuran. Baru sahaja melangsungkan perkahwinan kali kedua dengan wanita Melayu dari Kuantan, Pahang, pada 25 Mei lalu, Josiah atau nama Islamnya Mohamad Musleh itu memilih seorang jururawat sebagai isterinya. "Nama dia (isteri) Nurul Hidayu Noordin dan dia boleh diibaratkan seperti Wanita Melayu Terakhir, pandai memasak dan seorang yang ada disiplin," tuturnya yang memiliki seorang anak lelaki bernama Irvine Hogan, 7, hasil perkahwinan pertamanya dengan seorang wanita Melayu dari Temerloh, Pahang.
Kahwin pada usia 19 tahun Menyingkap sedikit sisi peribadi Josiah, dedahnya, dia pernah berkahwin pada usia 19 tahun tetapi malangnya, jodoh mereka tidak berpanjangan atas sebab tiada persefahaman. Selama tiga tahun hidup menduda, Josiah masih tidak serik memperisterikan wanita Melayu dan hatinya mula terbuka untuk Nurul yang berusia 23 tahun itu. "Saya mula mengenali Nurul sekitar 2010 menerusi sebuah majlis hari ulang tahun temannya. Kebetulan kawan saya bercinta dengan kawannya dan kami mula berkenalan daripada situ. Lama-kelamaan kami intim dan bercinta. "Saya bersyukur kerana selain dihadirkan dengan isteri yang penyabar dan memahami, anak lelaki saya juga sangat mesra dengan Nurul. Sebabnya, saya hantar anak saya ke sekolah Cina dan kebetulan isteri boleh cakap Mandarin. Jadi, dia selalu bantu anak saya buat kerja sekolah dan mereka menjadi mesra," luahnya. Begitupun, dedah Josiah, isterinya agak cemburu dan tidak akan menonton lakonannya. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan babak-babak romantik. Mengulas lanjut, ujar Josiah, ada sekali sahaja isterinya menonton lakonannya menerusi telefilem Cinta Hero Malaya. "Sebelum kahwin lagi dia cakap tidak mahu menonton cerita lakonan saya. Cuma dia ada tonton satu telefilem lakonan saya iaitu Cinta Hero Malaya. Sebabnya dalam cerita itu saya galas peranan sebagai lelaki lembut," ujarnya sambil ketawa mengatakan cemburu isterinya itu tanda sayang. Sepanyol Mengenali Josiah dengan lebih mendalam, luahnya, dia menetap di Malaysia ketika berusia enam tahun. Ramah bercerita tentang dirinya, Josiah melanjutkan perbualannya. "Ibu saya berkahwin dengan bapa tiri saya iaitu orang Kelantan. Saya tinggal di Kelantan dan dibesarkan di sana sebelum berpindah ke Kuantan. Disebabkan itu, saya juga pandai cakap dialek Kelantan," ujarnya yang tidak tahu langsung bercakap dalam bahasa Sepanyol kerana tidak diajar oleh ibunya. Ujarnya, dia memeluk Islam pada usia empat tahun dan ibunya pula memeluk Islam sebelum berkahwin dengan bapa tirinya. JEHAN MISKIN selaku pengarah drama seram What If, memilih Josiah memegang watak utama. Sengaja berkongsi bagaimana dia mula menceburkan diri dalam bidang lakonan, jelas Josiah, dia pernah menerima tawaran berlakon di Hollywood memandangkan bapa saudaranya kenal dengan orang filem di sana. Malangnya, hasratnya untuk mencipta nama di Hollywood tidak kesampaian selepas bercerai dengan isteri pertamanya. "Kebetulan masa dapat tawaran, saya bercerai dengan dia (isteri pertama). Mahkamah memutuskan hak penjagaan anak adalah secara bergilir. Saya akhirnya menolak tawaran itu kerana memikirkan mengenai Irvine," ungkapnya. Mengulas lanjut, Josiah kemudiannya bekerja di sebuah syarikat automotif jenama mewah dan akhirnya ditawarkan sebagai pelakon dalam telefilem Tangisan Langsuir pada tahun 2010. lelaki gila, psiko Bercerita tentang drama terbaharunya berjudul What If arahan pelakon Jehan Miskin, Josiah mengakui menyukai watak Imzan, seorang lelaki gila dan psiko. "Episod pertama membawa penonton terus ke wad gila. Imzan dimasukkan ke wad gila oleh bapa mertuanya walaupun sebenarnya dia tidak gila. Ketika di wad gila, dia menulis dalam diari namun dia tidak sedar memiliki kuasa yang mampu menjadikan setiap cerita yang ditulisnya menjadi kenyataan di alam realiti. Saya suka melakonkan watak gila dan psiko ini kerana ia mencabar," ceritanya. Ditebak adakah watak Imzan ini yang paling mencabar pernah dilakonkannya, menurut Josiah, watak Dr. Hud dalam drama Cinta Jangan Pergi lebih mencabar. Katanya, watak itu memerlukan dia menjadi seorang yang segak dan budiman, sedangkan dia bukan begitu. "Saya sebenarnya seorang yang gila-gila dan bukan juga seorang yang segak dalam berpakaian. Tetapi, Dr. Hud memaksa saya jadi seorang lelaki budiman dan segak," jelasnya mengakhiri perbualan. | ||
Dharma terkejut menang anugerah Posted: Dharma terkejut menang anugerahOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
KEHADIRAN pelakon dan pengarah Dharma Harun Al-Rashid semasa acara Anugerah Blokbuster 2 yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB) pada 15 Jun lalu sekadar memenuhi kehendak keluarganya. Walaupun filem arahannya iaitu Adik Manja The Returns tercalon dalam beberapa kategori, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang. Namun begitu, berlaku sedikit kejutan apabila Dharma menjadi pilihan orang ramai untuk memenangi kategori Direktor Baharu Terhebat. Ternyata kemenangan tersebut cukup bermakna buat pengarah yang pernah menjadi teraju utama filem Adik Manja itu kerana dia telah menewaskan calon pilihan seperti Syafiq Yusof untuk filem Saya Amat Menyintaimu (SAM). Dharma yang ditemui selepas berakhirnya acara pada malam tersebut ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya dengan kemenangan itu. "Saya tidak menyangka akan muncul sebagai salah seorang pemenang kerana saingan daripada calon-calon lain yang lebih hebat. "Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya seolah-olah tidak percaya, tetapi saya menganggapnya sebagai rezeki yang tidak dijangka," ujarnya. Ketika ditanya pandangannya terhadap kemenangan itu, Dharma tidak menolak kemungkinan filem Adik Manja yang pernah dibintanginya bersama Nookumalasari turut memberi impak. Ujarnya, dia percaya orang ramai yang mengundi dirinya menerusi filem Adik Manja The Returns untuk kategori berkenaan merupakan golongan yang meminati filem Adik Manja yang diterbitkan pada tahun 1979. "Saya berasa kemenangan ini sesuatu yang sangat berbaloi memandangkan filem ini mengambil masa yang agak lama untuk ditayangkan di pawagam iaitu setelah tiga tahun dihasilkan. "Lagipun ini bukan kemenangan buat saya seorang sahaja kerana semua pelakon telah memberikan lakonan yang terbaik, meskipun filem Adik Manja The Returns kurang mendapat sambutan di pawagam," jelasnya. Berkenaan dengan sambutan filem berkenaan, Dharma menyatakan bahawa antara punca filem itu gagal meraih kutipan tinggi di pawagam ialah saingan daripada dua filem antarabangsa.
"Filem arahan saya ini ditayangkan secara serentak dengan CZ12 yang dibintangi Jackie Chan dan Jack Reacher lakonan Tom Cruise. Jadi, ia turut memberi kesan kepada kutipan filem arahan saya. "Sedangkan semasa ditayangkan di Astro First pula ia mendapat sambutan yang baik, malah saya menerima banyak pujian daripada orang ramai yang sudah menontonnya," jelasnya. Drama bersiri Dengan kemenangan itu, Dharma berkata, ia telah menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk menghasilkan Adik Manja The Returns dalam versi drama bersiri pula. Jelas pengarah berusia 57 tahun itu, perkara tersebut sudah lama dirancang dan dia telah berbincang dengan beberapa buah stesen televisyen. "Kalau filem ini dibuat dalam versi drama sudah tentu jalan ceritanya akan menjadi lebih menarik dan disesuaikan dengan kehidupan remaja perempuan di kolej sekarang. "Cuma buat masa ini, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan memandangkan kertas kerja untuk projek tersebut sudah disiapkan. Saya berharap ia dapat dihasilkan secepat mungkin," jelasnya. Selain mahu membikin drama bersiri yang diadaptasi daripada filem arahannya itu, Dharma menyatakan dia bakal menghasilkan beberapa buah program realiti dan dokumentari pada masa akan datang. | ||
Scha ingin doa dapat anak depan Kaabah Posted: Scha ingin doa dapat anak depan KaabahOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA SCHA dan Awal bakal membawa keluarga masing-masing mengerjakan Umrah pada Ramadan ini. PASANGAN sama cantik sama padan, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari bakal mengerjakan umrah buat pertama kalinya selepas mendirikan rumah tangga tahun lalu. Sudah mendaftar dengan sebuah agensi perkhidmatan umrah, akui Scha ketika ditemui pada sesi rakaman program Raya Sakan Bersama FBI di TV9, perkara utama yang ingin dimohon mereka di depan Kaabah adalah supaya dikurniakan anak. Scha juga mengakui berasa takut dan dalam masa yang sama teruja kerana buat pertama kalinya dia bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu. Scha dan Awal melangsungkan perkahwinan pada 4 Mei 2012. Sudah setahun lebih mereka mendirikan rumah tangga tetapi belum dikurniakan cahaya mata. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Scha tentang perancangannya menunaikan umrah bersama Awal. KOSMO!: Bilakah Scha dan Awal merancang untuk mengerjakan umrah? SCHA: Kami merancang mengerjakan umrah pada minggu kedua atau ketiga Ramadan ini. Berapa lamakah kalian akan berada di sana nanti? Kemungkinan kami akan berada di sana selama 10 hari. Sudah mendaftar dengan agensi untuk mengerjakan umrah? Kami sudah mendaftar dengan sebuah agensi, tetapi Awal masih melihat beberapa lagi agensi. Dia memang cerewet dan kalau boleh dia mahukan agensi yang benar-benar bagus. Bagaimana boleh merancang untuk mengerjakan umrah bersama? Satu hari, saya tiba-tiba terdetik untuk mengerjakan umrah dan menyatakan hasrat tersebut kepada dia (Awal). Tanpa banyak soal, Awal bersetuju dan kami terus merancang untuk mengerjakannya bersama pada tahun ini. Adakah ini pertama kali kalian akan mengerjakan umrah? Awal sudah pernah mengerjakan umrah, sebaliknya saya baru pertama kali. Adakah kalian berdua sahaja ke sana nanti? Keluarga saya dan Awal akan turut sama mengerjakan umrah.
Apa perkara utama yang ingin dipohon? Tidak dinafikan memang kami pergi ke sana untuk berdoa mendapat cahaya mata. Selain itu, kami juga ingin berdoa agar lebih dimurahkan rezeki. Bagaimana persiapan anda untuk ke sana? Buat masa ini saya ada membeli beberapa buku panduan mengerjakan umrah. Kami juga akan menghadiri kursus untuk mendapat gambaran dan sedikit ilmu sebelum menjejakkan kaki ke sana. Bagaimana anda ingin gambarkan perasaan apabila mengerjakan umrah nanti? Sejujurnya, saya akui takut sebab pertama kali pergi ke sana dan dalam masa yang sama teruja untuk mengerjakan umrah. Saya juga teringin melihat keadaan di sana. Selain mengerjakan umrah, bagaimana pula dengan jadual seni anda? Buat masa ini, saya memang bercadang untuk mengehadkan aktiviti seni pada bulan puasa ini. Tetapi kalau ada aktiviti yang saya tidak boleh tolak, saya akan ambil. Contohnya, rakaman-rakaman yang sudah terikat seperti Melodi Raya, Kecohnya Beraya dan Raya Sakan Bersama FBI. Bagaimana dengan persiapan puasa tahun ini? Saya dan Awal memang akan bangun sahur setiap hari. Tetapi kalau Awal ada aktiviti seni pada sebelah pagi, dia akan beritahu saya yang dia tidak mahu bangun sahur. Apa menu wajib berbuka puasa anda berdua? Kalau untuk berbuka puasa, saya memang wajib ada ayam percik, air tebu dan popia basah. Awal pun sama cuma dia tidak makan nasi. Dia suka ratah lauk sahaja. Apakah drama atau filem lakonan Scha yang akan datang? Filem Papadom 2 dan filem aksi, Dampak akan keluar lepas raya nanti. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |