Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Kekuatan mental punca kejayaan Johor DT Posted: Kekuatan mental punca kejayaan Johor DTOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
JURULATIH Johor Darul Takzim (Johor DT), Fandi Ahmad menyifatkan kekuatan mental skuad kendaliannya merupakan salah satu faktor kejayaan mereka layak ke perlawanan akhir Piala FA musim ini. Meskipun Harimau Selatan itu tewas 1-2 kepada Pahang pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin, mereka tetap berjaya mara ke perlawanan akhir berdasarkan kelebihan jaringan di gelanggang lawan menerusi agregat 2-2. Pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin minggu lalu, Johor DT memang 1-0 menerusi jaringan Leonel Nunez. Menurut Fandi, kekuatan mental barisan pemainnya menjadi punca kebangkitan mereka selepas ketinggalan 0-2 pada aksi separuh masa pertama. Pengendali kelahiran Singapura itu menyifatkan motivasinya kepada pemain berjaya membantu Harimau Selatan untuk mempamerkan aksi lebih menyakinkan khususnya pada babak kedua. Jelasnya, beliau menarik nafas lega selepas berjaya mara buat kali pertama di pentas final Piala FA untuk pasukan berstatus kelab itu. "Selepas ketinggalan 0-2 (pada separuh masa pertama), saya memberikan motivasi kepada pemain ketika dalam bilik persalinan dan mengingatkan mereka agar terus berusaha untuk melakarkan sejarah buat pasukan ini. "Mereka akhirnya membuktikan keupayaan mereka, dan saya tahu mereka memiliki mentaliti yang cukup kuat. "Kami selalu ketinggalan, tetapi selepas itu berjaya bangkit untuk memenangi perlawanan terutama dalam kempen Piala FA ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan kelmarin. Pada aksi tersebut, skuad Tok Gajah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penyerang import, Martias Conti pada minit pertama dan ke-40. Namun, kelebihan skuad kendalian Dollah Salleh gagal bertahan apabila perancang import Johor DT, Andrea Francisco menjaringkan gol penting pada minit ke-47 sekali gus membawa Harimau Selatan ke final. Tambah Fandi, beliau sudah menjangkakan Pahang akan mengamalkan corak permainan menyerang sebaik perlawanan dimulakan. Namun, katanya, Harimau Selatan mengambil kesempatan terhadap bekas juara Piala FA 2006 itu yang tampak keletihan pada separuh masa kedua. "Saya menjangkakan Pahang akan menyerang habis-habisan sepanjang perlawanan tersebut. "Tidak dapat dinafikan mereka mempamerkan permainan cukup baik untuk aksi pertama namun saya memberitahu kepada pemain saya supaya mengambil kesempatan di separuh masa kedua. "Ini kerana mereka mula tampak kepenatan selepas menggunakan semua tenaga pada aksi pertama dan akhirnya, kami berjaya menjaringkan gol penting. "Saya mengucapkan tahniah kepada Pahang yang mempamerkan aksi yang lebih baik pada perlawanan tersebut tetapi pujian harus diberikan kepada pemain saya atas kejayaan ini," katanya. Ketika ditanya mengenai pertemuan final menentang juara bertahan, Kelantan pada 29 Jun depan, Fandi memberitahu: "Saya tidak mahu memikirkan aksi (final) itu lagi, kerana tumpuan kami sekarang adalah perlawanan Liga Super akan datang." | |
Pahang akur gagal mara ke final Posted: Pahang akur gagal mara ke finalOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan NOR AZIRAN YUNUS MARTIAS Conti (kanan) menjaringkan dua gol buat pasukan Pahang pada aksi menentang Johor Darul Takzim pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin. "KAMI menang, tetapi terpaksa akur dengan kegagalan mara ke perlawanan akhir Piala FA musim ini." Demikian respons spontan jurulatih Pahang, Dollah Salleh selepas skuad kendaliannya tewas menerusi jaringan di tempat lawan meskipun terikat agregat 2-2 dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin. Pada perlawanan tersebut, Pahang selaku tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Martias Conti seawal minit pertama dan ke-40. Namun, impian skuad Tok Gajah untuk melangkah ke final tidak kesampaian selepas Andrea Francisco meledak gol tunggal Harimau Selatan sekali gus menyaksikan Johor DT mara berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan. Mengulas lanjut, Dollah menyifatkan kekalahan Pahang berpunca daripada sikap terlalu berhati-hati selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama. Menurut Dollah, skuad kendaliannya cuba bangkit di separuh masa kedua namun gagal untuk menambah jaringan. "Kami terpaksa akur dengan keputusan ini. "Saya memuji pemain saya yang mempamerkan persembahan cemerlang pada perlawanan menentang Johor DT. "Pada pendapat saya, kesilapan kami adalah terlalu bermain berhati-hati pada separuh masa kedua. "Akhirnya, kami dihukum disebabkan corak tersebut dan kami cuba bangkit namun gagal menghasilkan jaringan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin. Dalam perkembangan sama, Dollah turut mengakui bahawa faktor keletihan pada aksi kedua permainan telah memberikan kelebihan buat pasukan pelawat untuk menghukum pasukannya. Katanya, beliau terpaksa bertindak mengeluarkan perancang Tok Gajah, Amirul Hadi Zainal yang mengalami kecederaan pada perlawanan tersebut. "Kedua-dua pasukan bermain dengan cukup baik. "Cuma, barisan tengah kami nampak kepenatan dan saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan Amirul Hadi. "Ini kerana dia beraksi dalam keadaan cedera (dan menggantikannya dengan Azidan Sarudin pada separuh masa kedua). "Akhirnya, Johor DT mengambil kesempatan itu dengan memberikan tekanan kepada kami. "Saya selalu menasihatkan kepada pemain saya jangan melakukan kesilapan walaupun dalam tempoh satu saat. "Namun, pasukan lawan tetap berjaya menjaringkan satu gol, dan saya memang kecewa dengan keputusan ini," katanya. | |
Posted: Kelantan hanya mahu pialaOleh KHAIRI MOHAMAD HODAK (kanan) hanya memikirkan untuk mengekalkan Piala FA di bumi Kelantan musim ini. MEMENANGI sekurang-kurangnya satu piala musim ini menjadi sasaran jurulatih Kelantan, Bojan Hodak apabila mereka turun menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) pada perlawanan akhir Piala FA 29 Jun ini. Menurutnya, misi tersebut adalah lebih penting berbanding soal maruah untuk menebus kekalahan 0-2 di tangan Johor DT pada aksi Liga Super di Johor Bahru serta seri 1-1 ketika mereka beradu di Kota Bharu sebelum itu. Sambil menyifatkan pertembungan antara The Red Warriors dan Johor DT sebagai satu perlawanan akhir yang menjadi impian ramai pemerhati dan peminat bola sepak seluruh negara, Hodak juga menganggap ia memudahkan lagi tugasnya sebagai seorang jurulatih. "Saya gembira apabila kita akan turun menentang mereka (Johor DT) pada perlawanan akhir. Semua orang tahu Johor DT merupakan pasukan yang dipenuhi 'bintang' dan saya fikir, ia secara automatik memberi motivasi yang baik untuk pemain saya menghadapi perlawanan tersebut. "Ia bukan sekadar berkisar kepada soal maruah kedua-dua pasukan, tetapi apa yang lebih penting buat saya sekarang ialah untuk menang satu piala musim ini. Soal sama ada mereka (pemain) fikir untuk mendapat imbuhan itu tidak menjadi masalah yang penting, kita mahu bermain untuk mendapatkan piala," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam. Tambahnya, beliau begitu mengimpikan perlawanan akhir untuk menentang Johor DT kerana sudah pasti stadium akan dipenuhi penyokong kedua-dua pasukan, dan secara tidak langsung akan menaikkan semangat para pemain. Katanya, peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang dan The Red Warriors dilihat mempunyai kelebihan kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan Kelantan dan perlawanan akhir adalah cukup sinonim, dan berharap ia mampu untuk menjadikan para pemainnya lebih tenang. "Kita seri di Kota Bharu sebelum ini kemudian tewas di Johor Bahru dalam dua pertemuan awal, mungkin pertemuan kali ketiga ini akan berpihak kepada kita. Jika ia benar berlaku, saya fikir ia cukup manis kerana kita menewaskan Johor DT dan memenangi piala. "Persiapan rapi sudah pasti akan kita lakukan, sesi latihan akan bermula esok (hari ini) selepas pemain diberikan rehat selama tiga hari. Saya harap Dickson Nwakaeme dan Azizi Mat Rose akan segera pulih dan menjalani latihan untuk persiapan menjelang perlawanan akhir ini," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |