Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Masalah masyarakat terus didekati Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT Oleh Haniza Hassan Asiah Md. Ariff (dua dari kanan) memotong pulut kuning sebagai simbolik Sambutan Hari Ibu Bapa sempena Program Kembara Karisma Peringkat Negeri Johor 2013 di Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor, kelmarin. JOHOR BAHRU 10 Jun - Program Penempatan Pekerja Pembangunan Komuniti yang merupakan program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendampingi rakyat merupakan platform terbaik bagi menentukan pelbagai perkhidmatan disalurkan ke peringkat akar umbi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff berkata, menerusi program berkenaan, JKM dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi masyarakat setempat sebelum dibawa kepada pihak bertanggungjawab untuk diselesaikan. Beliau berkata, di negeri ini, sebuah pejabat dibuka di Taman Cendana di sini, sejak November lalu bukan sekadar menjadi jambatan antara penduduk dan JKM, tetapi turut bertujuan membangunkan masyarakat dari segi sosial, ekonomi dan kesihatan penduduk. "Pejabat yang dikenali sebagai Pusat Rujukan Komuniti ini boleh dijadikan mata dan telinga JKM dalam usaha membanteras gejala sosial di peringkat akar umbi selain sebagai tempat rujukan komuniti untuk mendapatkan khidmat JKM. "Kita harap masyarakat Taman Cendana dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerana pejabat ini adalah satu-satunya yang terdapat di negeri ini," katanya selepas merasmikan Program Kembara Karisma peringkat negeri 2013 di sini semalam. Yang turut hadir, wakil rasmi Ketua Pengarah JKM, Roslan Baba dan Pengarah JKM negeri, Khatijah Abdullah. Asiah berharap penduduk setempat mengambil langkah awal dengan berkunjung ke pejabat berkenaan dan tidak hanya menunggu pegawai JKM datang ke rumah. "Kita minta penduduk jangan tunggu pegawai datang ke rumah, sebaliknya mereka boleh pergi ke pejabat berkenaan dengan membawa masalah yang dihadapi untuk perhatian bersama," katanya. |
MCA Gelang Patah pantau kerja ADUN DAP Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT JOHOR BAHRU 10 Jun - Bagi memastikan penduduk Dewan Undangan Negeri (Skudai) dan Parlimen Gelang Patah mendapat perkhidmatan sewajarnya daripada wakil rakyat DAP di kedua-dua kawasan tersebut, MCA Gelang Patah kini menubuhkan Unit Pemantauan Aduan Awam sebelum memuat naik di laman Facebook yang diberi nama SkudaiTalk. Ketuanya, Jason Teoh Siew Hock berkata, pasukan dengan 11 sukarelawan itu sebelum ini berkhidmat membantu penduduk namun kekalahan dalam pilihan raya umum lalu memerlukan mereka menukar peranan. "Unit pemantauan ini akan melihat tindakan yang diambil terhadap aduan awam yang dibuat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai (Dr. Boo Cheng Hau) dan Ahli Parlimen Gelang Patah (Lim Kit Siang). ''Tumpuan diberikan kepada isu yang tidak diselesaikan mereka dalam tempoh masa tertentu, barulah penduduk boleh mengajukan kepada kami. "Usaha ini bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak tetapi sebagai check and balance. ''Mereka (penduduk) undi DAP, MCA sebagai pembangkang di sini mahu memastikan sebarang aduan rakyat diselesaikan. Bila ada bukti baru kami muat naik di Facebook," katanya dalam sidang akhbar di Kelab Media Cina di Jalan Maju, di sini hari ini. Menurut Siew Hock, unit yang dikendalikan Timbalan Biro Aduan Awam MCA Gelang Patah, Lim Soon Hai sudah bergerak sebelum dilancarkan secara rasmi selepas beroperasi sepenuhnya tahun ini. Namun, kata beliau, pihaknya sudah menerima beberapa aduan penduduk yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan kedua-dua wakil rakyat tersebut. Katanya, penduduk yang mahu membuat aduan kepada unit itu perlu melalui prosedur ditetapkan supaya data yang diperoleh dapat diproses dengan sempurna dan boleh dipercayai seperti nama penuh dan alamat tempat tinggal kerana aduan melalui panggilan telefon tidak akan dilayan. Tambah Siew Hock, penduduk boleh datang ke pusat perkhidmatan yang kini dibuka setiap Jumaat, Sabtu dan separuh hari pada Ahad. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |