Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Penduduk Muar bimbang, cemas
- 102 warga Indonesia ditahan
- Tingkat usaha popularkan sukan sepak takraw
Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK Sebahagian orang ramai memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar membeli barang keperluan di pasar tani dalam keadaan berjerebu teruk di Muar, semalam. MUAR 23 Jun - Lebih 300,000 penduduk di daerah ini melahirkan kebimbangan dan mula cemas dengan perkembangan jerebu sehingga kawasan itu diisytiharkan darurat jerebu hari ini. Mereka risau keadaan berkenaan akan berterusan, sekali gus merencatkan rutin harian dan menjejaskan sumber pendapatan terutama yang menjalankan perniagaan. Seorang peniaga kedai makanan di Stesen Bas Bentayan, Hazizah Harun, 40, berkata, sejak jerebu melanda di bandar tersebut seminggu lalu, dia berdepan dengan pelbagai kesulitan selain bilangan pelanggan berkurangan. "Saya sebenarnya sudah hampir berputus asa untuk berniaga lagi sebab keadaan jerebu makin teruk dan sememangnya mengganggu operasi harian saya. Lampu di kedai makan terpaksa dipasang pada waktu siang kerana keadaan jerebu mengakibatkan keadaan mendung. "Setiap satu jam terpaksa membersihkan habuk di merata tempat dan saya bimbang keadaan ini akan menjejaskan kesihatan pelanggan. Kepenatan juga berganda kerana terpaksa mengelap meja dan kerusi berkali-kali akibat habuk yang berterbangan," katanya. Seorang lagi peniaga, Hishammudin Mahad, 43, mengakui dia baru membuka semula kedainya selepas dua hari ditutup akibat jerebu selain pelanggan berkurangan kerana orang ramai tidak keluar rumah. Sehubungan itu dia meminta kerajaan segera melakukan sesuatu bagi memastikan keadaan pulih seperti biasa. Bagi Asrini Kanaison, 20, dari Taman Pagoh Jaya dekat sini yang demam sejak seminggu lalu dan masih tidak pulih berkata, matanya kerap berair, bibir pecah dan selalu sesak nafas sehingga adakalanya susah mahu tidur pada waktu malam. Penuntut Kolej Cybernatics itu memberitahu, kulitnya juga terasa gatal dan mula diserang sakit tekak dan pening kepala. Lain pula ceritanya dengan pelajar Sekolah Menengah Sains Muar, Muhammad Khairil Hafizuddin, 16, hasratnya untuk kembali ke asrama tidak kesampaian apabila dia bersama rakan-rakannya diminta pulang ke rumah serta-merta. "Saya terkejut apabila cikgu mengarahkan kami pulang kerana keadaan jerebu semakin bahaya dan terpaksalah saya pulang ke rumah di Johor Bahru dengan menaiki bas," katanya. |
Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT Dua anggota Jabatan Imigresen Johor (berdiri) memeriksa pas lawatan sebahagian warga Indonesia dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Taman Setia Tropika, Johor Bahru, kelmarin. JOHOR BAHRU 23 Jun - Jabatan Imigresen negeri menahan 102 warga Indonesia termasuk seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dan lima kanak-kanak dalam operasi di sebuah tapak pembinaan dekat Taman Setia Tropika di sini semalam. Timbalan Penolong Pengarah Imigresen II negeri, Mohd. Zariman Mohamed berkata, kesemua 83 lelaki, 16 wanita dan enam kanak-kanak berusia antara tujuh bulan hingga 51 tahun itu ditahan dalam operasi pukul 10.30 pagi. "Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kebanyakan warga asing itu bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar, bersembunyi di celah rumah kongsi dan berendam dalam air bertakung di kawasan tapak pembinaan tersebut. "Bagaimanapun kesemua mereka berjaya ditahan dan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Pekan Nanas, Pontian untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Mohd. Zariman memberitahu, siasatan awal mendapati sebahagian mereka tidak memiliki pas lawatan dan permit yang sah manakala yang lain menyalahgunakan pas lawatan untuk bekerja di tapak pembinaan berkenaan. Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama. |
Tingkat usaha popularkan sukan sepak takraw Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT Ayob Rahmat (berdiri tujuh dari kanan) bersama sebahagian peserta Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Segamat di Segamat, kelmarin. SEGAMAT 23 Jun - Golongan belia di daerah ini digesa supaya mempergiatkan lagi usaha untuk mempopularkan kembali permainan sepak takraw yang semakin kurang mendapat perhatian ketika ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayob Rahmat mahu penduduk berganding bahu dengan golongan muda menghidupkan kembali permainan tersebut bukan sahaja sebagai satu acara sukan, sebaliknya sebagai permainan tradisi bangsa. "Satu ketika dahulu kita boleh melihat permainan sepak takraw akan dimainkan oleh golongan muda di setiap kampung pada waktu petang, walaupun ketika itu kemudahan yang ada begitu terhad. "Tetapi hari ini minat golongan muda terhadap permainan yang berakar umbi dari permainan tradisi Melayu ini semakin kurang mendapat sambutan walaupun pelbagai kemudahan seperti gelanggang telah disediakan oleh kerajaan," katanya semasa merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Segamat, di sini semalam. Sebanyak 16 pasukan bersaing untuk merebut dua tempat terbaik bagi mewakili daerah Segamat ke pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan tidak lama lagi. Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Segamat berharap usaha dilakukan secara menyeluruh untuk menarik minat golongan muda mengekalkan permainan tradisi ini di seluruh daerah dan melahirkan seberapa ramai pemain berbakat. Katanya, masyarakat tidak boleh mengharapkan hanya pihak tertentu sahaja menggerakkan usaha mengembalikan kegemilangan permainan ini, sebaliknya harus turut serta berganding bahu termasuk memberikan input yang berguna. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |