Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Posted: 03 Jun 2013 11:44 AM PDT Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM RIDUAN Masmud (kiri) diiringi oleh Loretto S. Padua keluar dari Mahkamah Khas Rasuah di Kota Kinabalu, Sabah, semalam. KOTA KINABALU 3 Jun - Seorang pengurus sebuah restoran yang dituduh merogol seorang gadis bawah umur, Februari lalu dan kemudian mengahwini mangsa semasa kes sedang berjalan, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini atas tiga tuduhan merasuah bapa mangsa untuk menarik balik laporan rogol itu. Riduan Masmud, 40, yang mempunyai dua isteri, termasuk mangsa dan empat anak itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Caroline Bee Majamil. Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menawarkan wang RM5,000 kepada bapa mangsa untuk menarik balik aduan mangsa bahawa dia telah dirogol olehnya. Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 9 malam dan 10 malam, 18 April lalu di luar Pondok Pengawal Institut Sinaran, Jalan Tuaran By Pass di sini. Pertuduhan kedua pula menyatakan pada masa, tarikh dan tempat sama, Riduan didakwa memberikan bapa mangsa wang sebanyak RM2,000 sebagai dorongan untuk berbuat demikian. Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu pada hari yang sama, antara pukul 11 malam dan 12 tengah malam di Kantin Naga Emas, Jalan Tuaran Lama, secara rasuah sekali lagi memberikan bapa mangsa wang tunai sebanyak RM3,000. Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama. Jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan, Riduan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau yang mana lebih tinggi. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mukhriz Mat Rus manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Loretto S. Padua Jr. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes itu pada 21 Jun ini. Riduan dituduh merogol mangsa yang berusia 12 tahun enam bulan di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Inanam pada pukul 10 pagi, 18 Februari lalu sebelum mengahwini gadis tersebut semasa perbicaraan kes berkenaan sedang berjalan di mahkamah. Liputan kes itu kemudian mendapat perhatian meluas pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sehingga menyebabkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menegaskan bahawa kes rogol itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya. |
Sirul Azhar kemuka alasan rayuan tambahan dakwa terima publisiti negatif Posted: 03 Jun 2013 11:44 AM PDT PUTRAJAYA 3 Jun - Koperal Sirul Azhar Umar memfailkan permohonan untuk memasukkan alasan rayuan tambahan bagi mendapat perisytiharan bahawa perbicaraan terhadapnya kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu merupakan satu perbicaraan yang salah serta sabitan dan hukuman mati terhadapnya wajar diketepikan. Sirul Azhar, 38, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan hari ini melalui peguam-peguam yang mewakilinya, Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican. Kamarul Hisham ketika ditemui pemberita memberitahu, pihaknya masih menunggu arahan daripada Timbalan Pendaftar untuk mendapat tarikh yang sesuai sama ada mahkamah mendengar permohonan itu terlebih dahulu sebelum rayuan utama yang telah ditetapkan pada 10, 11 dan 12 Jun ini. Menurut beliau, pihak peguam bela turut menunggu arahan mahkamah untuk perkembangan selanjutnya kerana beliau mendapat petunjuk bahawa pihak pendakwaan mungkin membantah permohonan itu. Ujar Kamarul Hisham, notis usul tersebut difailkan tanpa memasukkan seorang lagi perayu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 34. Afidavit bagi menyokong permohonan itu yang diikrarkan hari ini oleh peguam, Lim Kon Keen menyatakan, Sirul Azhar telah menerima publisiti negatif (adverse publicity), tidak tepat dan mengelirukan. Menurut afidavit itu, selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 23 Jun 2008, saksi pendakwa pertama (SP1), P. Balasubramaniam yang juga seorang penyiasat persendirian telah membuat akuan bersumpah dan dimuat naik dalam pelbagai laman sesawang. Akuan bersumpah itu mengandungi perkara-perkara yang tidak terkandung dalam keterangannya di mahkamah ketika perbicaraan berlangsung dan telah menyebabkan prejudis terhadap Sirul Azhar. Selain itu, afidavit tersebut menyatakan, penulis blog, Raja Petra Kamarudin turut memuat naik akuan bersumpah beliau ke laman sesawang dengan mendakwa tiga lagi pihak turut hadir ketika pembunuhan Altantuya. Menurut afidavit itu, Raja Petra selanjutnya memuat naik satu salinan dokumen pada 5 Mac 2009 yang didakwa sebagai percakapan beramaran Sirul Azhar yang kandungannya menyatakan kononnya anggota polis itu mengaku membunuh mangsa. Sehubungan itu, afidavit tersebut menyatakan, publisiti meluas dan negatif itu mungkin mengakibatkan hakim bicara tidak berlaku adil kepada Sirul Azhar dan menyebabkan dia tidak mendapat perbicaraan yang saksama. Publisiti itu telah menyebabkan prejudis terhadapnya apabila hakim bicara mungkin telah dipengaruhi dan mengakibatkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009 tidak selamat dan harus diketepikan. Sirul Azhar turut memohon perintah mahkamah agar dia dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman membunuh model berkenaan manakala perbicaraan baharu tidak perlu didengar. Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin dalam keputusannya mendapati Azilah dan Sirul Azhar bersalah setelah berpuas hati bahawa pembelaan mereka merupakan penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai serta bertujuan menyalahkan di antara satu sama lain. Kedua-duanya didapati bersalah membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu di antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang dekat sini. Altantuya menemui ajal setelah jasadnya berkecai diletupkan di kawasan belukar berhampiran Empangan Tasik Subang. Perbicaraan terhadap kedua-duanya berlangsung selama 160 hari. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |