Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
Terowong bijih tarik pelancong Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh ZAMZURINA AHMAD Suhaimi Sulong KUANTAN 5 Jun - Terowong bijih timah Sungai Lembing di sini yang memulakan operasi sejak dua bulan lalu berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung. Ahli Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Suhaimi Sulong berkata, sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan sehingga MPK memperoleh jumlah pendapatan lebih RM150,000 dalam tempoh tersebut. "Bagaimanapun MPK akan terus membuat penambahbaikan seiring dengan keperluan para pelancong dari semasa ke semasa. "Segala aduan atau maklum balas daripada pihak pengunjung akan diambil kira dan diteliti," katanya yang mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPK di Dewan Majestik di sini hari ini. Sementara itu, katanya, terowong berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan menerima kunjungan daripada pelancong walaupun terdapat khabar angin terowong ditutup berikutan terdapat kemalangan kecil Sabtu lalu. "Insiden patung replika pekerja lombong terjatuh sehingga menyebabkan seorang pelancong tempatan cedera ringan tidak menjejaskan operasi terowong berkenaan. "Kita masih menyiasat kejadian tersebut dan siasatan ke atas empat lagi replika tersebut mendapati tidak membahayakan orang ramai," katanya. |
Gangguan elektrik diatasi lebih pantas Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Redzuan JERANTUT 5 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengkaji untuk meletakkan kakitangan tambahan dalam pasukan gerak cepat atau Speed Team di Kampung Bantal supaya urusan penyelenggaraan gangguan bekalan elektrik di kawasan Hulu Tembeling dilakukan dengan efisien dan pantas. Pengurus Cawangan TNB Jerantut, Redzuan Zainal Abidin berkata, untuk tujuan berkenaan, pihak TNB sedang mengenal pasti dua calon berkelayakan dalam kalangan penduduk kampung tersebut untuk menjadi kakitangan TNB di Hulu Tembeling. Beliau berkata, mereka akan dibantu oleh seorang kakitangan TNB yang mahir untuk memantau dan melatih selok-belok penyelenggaraan kerosakan dan gangguan menerusi unit Speed Team yang dilaksanakan di Kampung Bantal. "Sejak perasmian projek perintis Speed Team di TNB Cawangan Jerantut, pihak kami menerima banyak maklum balas daripada penduduk yang sangat gembira dengan wujudnya pasukan ini. "Penduduk Hulu Tembeling menyokong penuh penubuhan pasukan Speed Team ini kerana ia mampu mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik dalam masa 30 minit atau lebih cepat berbanding sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini semalam. Menurut Redzuan, kakitangan tambahan Speed Team Kampung Bantal yang dipilih kini dalam proses untuk dihantar mengikuti kursus secara berperingkat. "Kita juga akan menambah kemudahan lojistik, iaitu kenderaan yang akan digunakan oleh unit ini untuk melancarkan lagi pengurusan pasukan Speed Team menyelenggara gangguan bekalan elektrik di sana. "Sejak dilancarkan awal bulan lepas, projek ini cukup signifikan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Hulu Tembeling di kawasan pedalaman daerah ini," ujarnya. Katanya, jika pasukan Speed Team berjaya dan memenuhi keperluan penyelenggaraan kerosakan bekalan elektrik di Jerantut, usaha menubuhkan unit yang sama akan diperluaskan ke kawasan lain untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna. |
Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh SALEHUDIN MAT RASAD SALAH satu kontijen KPAM Temerloh bergambar pada majlis penutup perkhemahan KPAM Negeri di Jengka, baru-baru ini. MARAN 5 Jun - Perkhemahan Kadet Pertahanan Awam Malaysia (KPAM) peringkat negeri yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Timur (Pulapat) Jengka di sini baru-baru ini berjaya menarik penyertaan 524 pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri ini. Sempena perkhemahan itu, pelbagai aktiviti dilangsungkan bagi pengisian program berkenaan antaranya pertandingan kemahiran menyelamat mangsa, kawad kaki, pertolongan cemas dan kemahiran melawan kebakaran. Ketua Unit Menengah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Maran, Mohamed Bakri Abd. Malek berkata, pembabitan aktif pelajar dalam program itu dapat memupuk nilai kesukarelaan dan kesiapsiagaan tinggi dalam kalangan generasi muda negara. Beliau berkata, perkhemahan ini juga menyediakan landasan awal kepada generasi baharu menyemai nilai untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara. Jelasnya, cabaran yang ditempuh anggota KPAM akan menjadi nilai tambah kepada pembinaan karakter dan modal insan negara dalam menjamin kelangsungan kegemilangan negara. ''Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua anggota KPAM yang telah berjaya mengharungi segala cabaran sepanjang tempoh perkhemahan selama tiga hari," katanya ketika berucap menutup perkhemahan tersebut di sini. Yang hadir sama, Setiausaha Jawatankuasa Induk Perkhemahan KPAM negeri, Roslan Shamsuddin. Menurutnya, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah terbukti berperanan utama dalam memberi perlindungan kepada rakyat negara ini khususnya apabila musibah melanda. Tambah beliau, pertandingan kemahiran seperti menyelamat mangsa, kawad kaki, pertolongan cemas, dan kemahiran melawan kebakaran juga boleh menyemai nilai patriotisme dan integrasi. Jelasnya, melalui aktiviti yang diadakan, perhimpunan ini mampu melahirkan golongan muda yang memiliki bukan sahaja kemahiran untuk berhadapan dengan saat-saat kecemasan, malah membentuk semangat berpasukan dan cintakan negara. ''Elemen ini amat penting membantu membentuk karakter generasi muda yang berjiwa kental, patriotik dan bersyukur sebagai bangsa Malaysia," katanya. Tambah beliau, pengalaman diperolehi peserta itu perlu dikongsi bersama dengan rakan-rakan lain yang tidak berpeluang menyertai perkhemahan besar seperti perkhemahan JPAM ini. Sementara itu, para peserta perkhemahan KPAM menyifatkan program tersebut berjaya mengajar mereka erti kepayahan yang menuntut kerjasama dan kecekalan dalam menghadapi cabaran. Malah mereka berpendapat usaha Jabatan Pelajaran Negeri Pahang dengan sokongan padu JPAM negeri menepati falsafah dalam mendidik pewaris bangsa yang berjiwa patriotik. Mohd. Syazwan Mohd. Syukur, 14, dari Jerantut mengakui sangat teruja dan bersemangat menyertai aktiviti yang dipertandingkan seperti kawad kaki dan melawan kebakaran. Ujarnya, aktiviti seperti itu, menguji semangat persefahaman di samping menuntut fokus serta kecekalan dalam menghadapi ujian diberi sekali gus bermanfaat dalam menjalani kehidupan seharian. Puteri Elyana Natasya Abdullah, 17, dari Rompin berkata, penyertaan dalam pasukan KPAM memberi peluang remaja melatih diri dengan disiplin ketat yang menjurus kepada kehidupan lebih baik dan patriotik. Nabila Afifa Fikri, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jengka pula sangat berbangga dengan kejayaan diri mengikuti latihan ala ketenteraan yang disertainya. ''Saya tidak menyangka dapat mengikuti latihan kawad serta pelbagai lagi disiplin latihan yang mencabar walaupun tidak yakin dengan kebolehan diri sebelum ini," katanya. Farahim Nor Ridzuan, 17, dari SMK Abu Bakar Temerloh berkata, setelah menyertai pasukan KPAM sejak di tingkatan satu, jiwanya kini lebih patriotik terhadap bangsa, agama dan negara. ''Kini semangat saya untuk mempertahankan negara sangat berkobar-kobar dan tidak bersetuju jika mana-mana pihak mewujudkan situasi tidak selamat di negara tercinta ini," ujarnya. Saifuddin Saari, 17, dari SMK Jengka 18 memuji usaha jabatan pelajaran menganjurkan perkhemahan KPAM bagi menguji kecekapan kontinjen dari seluruh daerah di negeri ini. ''Kami sangat memerlukan ruang pendidikan dan latihan kemahiran yang lasak seperti ini mendidik dan melatih pelajar menjadi warganegara yang berguna kepada negara," jelasnya. Fakrul Razi Basri, 15, Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar Jerantut pula berkata, generasi yang dilatih asas disiplin ala tentera mampu menjadi benteng yang diharapkan negara. Dalam program itu, kontinjen daerah Pekan dan Temerloh muncul johan keseluruhan masing-masing bagi kategori sekolah menengah harian dan sekolah menengah agama. Ketua Platun terbaik sekolah menengah harian disandang oleh Ahmad Tarmizi Suhaimin (Temerloh) dan Nurul Faziliana Md. Arif manakala Amirul Rafuiddin Rusli (Temerloh) dan Hidayatul Asyikin Ishak (Pekan), sekolah menengah agama. Sementara itu, Pegawai Pengurusan Pembangunan Manusia Pejabat Pelajaran Daerah Maran, Burhanuddin Hashim berkata, prestasi dan potensi pelajar dalam bidang kokurikulum diiktiraf kerana terkandung dalam sistem pendidikan negara bagi membentuk generasi pewaris legasi kecemerlangan negara. Katanya, berikutan itu, sebarang persepsi negatif sesetengah ibu bapa bahawa aktiviti kokurikulum tidak membawa kebaikan dan membuang masa, hendaklah segera dikikis. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |