Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh SHAHRINNAHAR LATIB JURULATIH dan Pemain Pahang turut menderma untuk tabung PBNP bagi membantu membayar denda berjumlah RM100,000 ekoran insiden kekecohan penonton pada separuh akhir kedua Piala FA baru-baru ini di Kuantan, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN KUANTAN - Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terkilan dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang seolah-olah membayangkan persatuan itu mengambil keuntungan daripada insiden pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Takzim di Stadium Darul Makmur di sini pada 28 Mei lalu. Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, kenyataan seumpama itu bukan sahaja mempertikaikan integriti persatuan ini tetapi seolah-olah menghukum peminat dan penyokong bola sepak Pahang. "Kami berpendapat kenyataan seumpama itu tidak seharusnya keluar daripada seorang Menteri kerana selain berat sebelah dan tidak membina, ia juga menjatuhkan semangat peminat bola sepak. "PBNP dapat merasakan kekecewaan peminat dan penyokong bola sepak Pahang terhadap kenyataan itu," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PBNP, Rizal Chek Hashim pada sidang akhbar di sini semalam. Yang hadir sama, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim. Pada majlis itu juga turut diadakan kutipan derma bagi membantu mengurangkan beban PBNP untuk membayar denda sebanyak RM100,000 yang dikenakan akibat insiden tersebut. Khairy sebelum ini dilaporkan menyalahkan PBNP dan pesuruhjaya perlawanan ketika itu yang gagal bertindak dengan baik sehingga menyebabkan perlawanan ditunda. Khairy juga mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikatakan tidak bertindak adil apabila memperuntukan 60,000 tiket yang dikeluarkan kepada PBNP. Menurut Tengku Abdul Rahman, PBNP percaya kenyataan itu dibuat kerana ketidakpekaan atau terlepas pandang Khairy terhadap fakta sebenar insiden tersebut. "Beliau seharusnya memberi kritikan, cadangan dan buah fikiran yang positif supaya insiden seumpama itu tidak berulang terutamanya ketika negara menyaksikan kebangkitan sokongan peminat. "Daripada menuding jari mencari kesalahan sesama kita adalah lebih wajar untuk semua pihak berganding bahu mencari jalan supaya tahap sokongan ini semakin meningkat," katanya. Kata beliau, perhatian juga perlu diberikan kepada aspek meningkatkan kemudahan dan keselamatan di semua lokasi perlawanan liga kebangsaan bagi menjamin ketenteraman dan keselesaan pemain serta penyokong sepanjang masa. "Kami harap semua pihak peka terhadap perasaan peminat dan penyokong bola sepak negeri ini yang bersusah payah datang ke stadium," katanya. Dalam pada itu, katanya, PBNP juga akur terhadap keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang menjadualkan semula perlawanan tersebut di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan Pahang diberi status tuan rumah. "Tindakan FAM memperuntukkan 60,000 tiket kepada PBNP seharusnya tidak dipersoal kerana ini adalah dianggap wajar dan bersesuaian dengan status tuan rumah yang diberikan oleh FAM kepada PBNP," katanya. |
Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh NURUL HUDA HASSAN Tunku Ismail Sultan Ibrahim JOHOR BAHRU - Biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin mengeluarkan amaran kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) supaya tidak membuat sebarang kenyataan media mengkritik FAM, namun itu tidak menghalang Tunku Ismail Sultan Ibrahim daripada berterusan menegur badan sukan bola sepak negara itu. Dalam kenyataannya semalam, beliau dengan lantang membangkitkan beberapa perkara termasuk mengulangi teguran meminta FAM telus dan adil. Tunku Ismail turut menegaskan kritikan dibuat adalah kerana cintakan bola sepak, selain mahu mengetengahkan isu berkaitan sukan tersebut dan bukannya bertujuan membelakangkan mana-mana individu atau sebab beliau berminat memegang jawatan dalam FAM. Tunku Mahkota Johor berkata, beliau tidak berminat bertanding merebut sebarang jawatan dalam FAM kerana menyifatkan dirinya tidak layak. Dalam masa yang sama, tegasnya, beliau lebih mengutamakan Johor dan pembangunan bola sepak di negeri ini. Beliau sekali lagi mempersoalkan layanan FAM terhadap persatuan-persatuan bola sepak negeri yang disifatkan tidak adil seperti dalam kes melibatkan perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Pahang di mana PBNJ turut dikenakan hukuman, namun tidak diberi ruang untuk membuat rayuan. Tunku Ismail turut mempersoalkan mengapa FAM tidak membenarkan persatuan atau individu menyuarakan sebarang pendapat dan cadangan bagi mempertingkatkan mutu bola sepak negara. Ini kerana beliau berpendapat isu penting dalam sukan tersebut harus diberi perhatian dan diketengahkan selain rakyat perlu mengetahui situasi sebenar. Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana keadaan dalam FAM tiada tanda-tanda akan berlaku perubahan positif biarpun sudah ramai yang tampil membuat teguran sekali gus menegaskan sekiranya ia berterusan, maka 20 tahun dari sekarang kemelut sama akan terus membelenggu bola sepak negara. Bagaimana saya hendak beri pandangan dan berkongsi pendapat berkaitan bola sepak jika FAM seolah-olah keberatan untuk memberi kerjasama. Ini termasuk surat yang saya hantar berhubung mutu pengadilan di negara ini juga tidak mendapat maklum balas daripada FAM. Mereka yang memegang jawatan dalam FAM mestilah telus dan adil kepada semua pasukan yang bersaing dalam liga tempatan. Keutamaan mereka mestilah untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara selain memberi tumpuan pembangunan bakat baru di kalangan belia. Bola sepak bukan satu entiti persendirian milik mana-mana individu, ia adalah untuk semua lapisan masyarakat. Jadi, sekiranya FAM merasakan perlu untuk mengenakan denda terhadap saya, saya akur," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |